Home PAU 2017 UMNO Selangor sokong Hisham diberi menang tanpa bertanding

UMNO Selangor sokong Hisham diberi menang tanpa bertanding

Zainal Abidin Sakom semasa membahaskan ucapan dasar di Perhimpunan Agung UMNO 2017 hari ini di PWTC. foto MALAYSIA GAZETTE, 09 DISEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Jawatan Naib Presiden UMNO yang disandang Datuk Seri Hishammuddin Hussein disokong sekiranya diberikan menang tanpa bertanding, kata UMNO Selangor.

Perwakilan Selangor, Datuk Zainal Abidin Sakom berkata, Hishammuddin sudah membuktikan kemampuannya untuk menggalas tanggungjawab penting tersebut secara bersendirian.

Dua jawatan tersebut kosong ekoran penyingkiran bekas timbalan presien, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan naib presiden, Datuk Seri Shafie Apdal.

“Kini bertambah pula lagi satu supaya Naib Presiden tunggal kita yang buat kerja tiga orang, sudah menunjukkan bukti betapa beliau boleh menjalankan tugas, beliau wajar diberikan menang tanpa bertanding.

“Bermakna, dua sahaja yang akan bertanding, hanya ada dua kekosongan naib presiden kerana satu sudah diberikan menang tanpa bertanding,” kata beliau semasa membahaskan ucapan dasar di Perhimpunan Agung UMNO 2017 hari ini di PWTC.

Dua jawatan naib presiden kosong selepas Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dipilih untuk menyandang tugas timbalan presiden ekoran penyingkiran Muhyiddin.

Terdahulu, Zainal Abidin juga memuji langkah Pemuda dan Puteri UMNO yang juga turut menyokong usul supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden diberikan menang tanpa bertanding dalam pemilihan akan datang.

“Saya terkedu pada 6 hari bulan, Puteri dan Pemuda, mereka yang kita anggap berdarah muda suka bergaduh tapi mereka  mencadangkan supaya presiden dan timbalan diberi menang tanpa bertanding untuk pemilihan akan datang,” katanya lagi.

Jelasnya, langkah tersebut dilihat menunjukkan kesediaan jentera UMNO untuk menumpukan sepenuhnya menghadapi pilihan raya umum akan datang.

“Ini bermakna UMNO kini sudah sudah menumpukan segala kekuatannya untuk menentukan kita menang besar dalam pilihan raya. Itu sebenar mesej yang kita nak sampaikan,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast