Rakyat Palastin memprotes membakar bendera Israel dan AS sebagai membantah perisytiharan Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel Khamis lalu.Reuters

KAHERAH – Liga Arab hari ini membidas Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald J. Trump atas keputusannya mengisytiharkan Baitul Maqdis sebagai ibu kota Israel pada Khamis lalu.

Liga yang dianggotai negara-negara Arab itu menyifatkan tindakan Trump sebagai keganasan yang melanggar undang-undang antarabangsa.

Para menteri-menteri luar dari organisasi Arab itu menggesa AS supaya menangguh keputusan yang telah diumumkan itu dengan segera.

Malah Liga Arab juga dikatakan akan menagih resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk menolak keputusan Trump itu.

Liga Arab dalam satu kenyataan berkata, pengumuman Trump itu akan membawa kepada peningkatan keganasan di rantau itu.

Bagaimanapun, kumpulan tersebut berkata, langkah pemimpin AS itu tidak mempunyai implikasi daripada segi undang-undang dan bersifat ‘mengelak’.

Para wakil anggota Liga Arab juga berkumpul dan mengadakan mesyuarat tergempar di Kaherah, Mesir.

Pengiktirafan Trump terhadap Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel didakwa bercanggah dengan dasar AS bahawa status bandar raya itu perlu ditentukan menerusi perbincangan dengan warga Palestin yang melihat Baitul Maqdis timur sebagai ibu kota negara itu.

“Keputusan itu tidak dipengaruhi kesan undang-undang, ia sebenarnya mengeruhkan lagi ketegangan, mencetuskan kemarahan dan ancaman yang memaksa kota itu bertambah kecoh dan ganas.

Menteri Luar Lubnan, Gebran Bassil pada mesyuarat tergempar itu berkata, negara terlibat perlu segera mengenakan sekatan ekonomi ke atas AS sebaga langkah menghalang ia memindahkan Kedutaan Israel dari Tel Aviv ke Baitul Maqdis selepas ini.

“Langkah pencegahan awal perlu diambil segera bermula dengan rundingan diplomasi, kemudian politik dan ekonomi serta sekatan kewangan,” kata kenyataan Liga Arab itu.

Pengerusi Liga Arab, Ahmed Abdoul-Gheit pada sidang media berkata: “Kita mengambil keputusan politik bukan bermakna mencerminkan apa yang berlaku.

“Amanat politik adalah suatu tanggungjawab. Baitul Maqdis dihuni selama 50 tahun dan ia menambah lagi perjuangan rakyat Palastin,” tegasnya. – MalaysiaGazette