KUALA LUMPUR – “Saya berhajat menjemput Shiela Majid atau mana-mana selebriti kesayangan untuk datang Unit Perancang Ekonomi (EPU) bagi mendengar taklimat terhadap keadaan semasa ekonomi Malaysia.
“Mungkin Persatuan Seniman boleh mengaturkan lawatan tersebut dan saya berbesar hati untuk menjadi tuan rumah,” kata Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.
Dalam dua posting twitternya hari ini, Ahli Parlimen Kota Belud itu berkata, tidak salah untuk mana-mana selebriti memberi komen mengenai isu negara tetapi seperti orang lain, mereka juga perlu bersedia untuk dikritik.
Shiela sebelum ini menjadi topik hangat perbualan apabila tweetnya mengenai kos sara hidup yang semakin tinggi mendapat perhatian ramai.
Abdul Rahman yang mengaku peminat ratu jazz negara itu berkata, beliau pastinya sudi mendengar sebarang pandangan jujur dari sesiapa pun kerana selama ini sudah biasa bersabar dengan “rungutan merapu” dari pembangkang.
“Saya cuma berharap beliau meluahkan kritikan tersebut dengan penjelasan sewajarnya mengapa beliau mengatakan sedemikian,” kata Abdul Rahman.
Beliau turut menggalakkan orang ramai untuk melawat Ekspo Negaraku yang dianjurkan oleh EPU bagi mendapatkan gambaran sebenar situasi di negara ini termasuklah mengenai dasar-dasar yang digunakan untuk menjadikan kos sara hidup yang sederhana. – MalaysiaGazette