sindiket antarabangsa seludup manusia tumpas
Tan Sri Mohamad Fuzi Harun. foto HAZROL ZAINAL, 05 DISEMBER 2017.

PULAU PINANG – Pengerusi Pertubuhan Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad akan dipanggil dan diambil keterangan dalam masa terdekat bagi membantu siasatan polis berhubung kes menghina bangsa Bugis.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, keterangan Dr. Mahathir yang juga Pengerusi Pakatan Harapan itu diperlukan untuk melengkapkan siasatan kes berkenaan yang diyakini dapat diselesaikan dalam masa terdekat.

“Keterangan Dr. Mahathir itu bergantung kepada keperluan pegawai yang menjalankan siasatan, tetapi kita akan panggil beliau dalam masa terdekat sekali gus menyelesaikan  siasatan kes ini seberapa segera,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan Tahunan Polis Bantuan Malaysia ke-29 di Permatang Pauh, di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Chuah Ghee Lye.

Dr. Mahathir sebelum ini mencetuskan kontroversi selepas mengaitkan keturunan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai mungkin berasal daripada lanun Bugis ketika berucap pada perhimpunan pembangkang di Petaling Jaya, Selangor, 14 Oktober lalu.

Ucapan beliau itu turut mengguris Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah kerana dilihat sebagai cubaan menghasut rakyat Malaysia membenci, menghina dan memandang serong etnik Bugis yang merupakan susur galur Kesultanan Selangor.

Dalam perkembangan lain, Mohamad Fuzi  mengesahkan ahli DAP, Datuk Zaid Ibrahim akan memberi keterangan berhubung siasatan kes mempersoalkan titah Sultan Selangor esok.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 4 Akta Hasutan 1948 selepas polis menerima dua laporan berhubung kenyataan dibuat beliau.

Sultan Sharafuddin sebelum ini bertitah mengenai kegusaran baginda terhadap golongan yang membangkitkan isu sensitif bagi kepentingan peribadi serta bertujuan menarik undi.

Baginda juga bertitah Dr. Mahathir mempunyai “rasa rendah diri yang kompleks dan kebencian mendalam” yang boleh “membakar seluruh negara”.

Namun, titah Sultan Selangor itu mengundang rasa kurang senang Zaid yang menyatakan Sultan Selangor harus berhati-hati dalam mengeluarkan titah dan tidak cuba bermain dengan politik kepartian.