Zaid Ibrahim
Zaid Ibrahim

KUALA LUMPUR – Setelah dipalit kontroversi dan mendapat murka daripada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, akhirnya ahli DAP, Datuk Zaid Ibrahim akan memberikan keterangan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), esok.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu dijadualkan berbuat demikian jam 10 pagi esok di Bukit Aman.

Ujarnya, beliau tidak tahu mengapa dipanggil dan di bawah akta mana beliau diheret untuk memberikan keterangan.

“Tidak, saya tidak tahu (peruntukan undang-undang), saya hanya mendapat mesej (untuk saya) pergi ke sana, tidak ada masalah, saya akan pergi dan menjawab soalan,” katanya memetik laporan Malaysiakini.

Semalam, Zaid berkata beliau bersedia memberi kerjasama kepada polis sekiranya dipanggil untuk soal siasat berhubung kenyataannya dalam aplikasi twitter yang menimbulkan kemurkaan Sultan Selangor, baru-baru ini.

Kenyataan Zaid yang berbaur penghinaan terhadap Sultan Selangor itu mencetuskan kemarahan rakyat, sehingga beberapa pemimpin UMNO negeri itu menganjurkan perhimpunan mengutuk beliau, termasuk membakar gambarnya sebagai tanda marah.

“Saya rasa polis terpaksa menyiasat kerana ramai yang membuat aduan dan ini telah menjadi isu awam.

“Polis perlu siasat sama ada saya melanggar sebarang undang-undang, jadi mereka perlu mendengar penjelasan saya,” katanya.

Zaid menerusi akaun Twitternya sebelum ini mempertikaikan titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menegur Pengerusi Pakatan Harpaan (PH) Tun Dr. Mahathir Mohamad berhubung kenyataan bekas Perdana Menteri itu menghina Bugis.

Menerusi kenyataan di media sosial itu, Zaid memberitahu Sultan Sharafuddin harus lebih berhati-hati dengan kata-kata baginda kerana tiada siapa yang kebal apabila negara terbakar. -MalaysiaGazette