Datuk Seri Ismail Abd Muttalib

KUALA LUMPUR – Majikan di sektor swasta boleh disiasat dan dikenakan tindakan undang-undang sekiranya memberhentikan pekerja wanita yang mengambil cuti bersalin 90 hari, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abd. Muttalib.

Beliau berkata, ini selari dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang jelas menyatakan bahawa rakyat atau individu mempunyai hak sama rata dalam mengamalkan kehidupan termasuk alam pekerjaan.

“Walaupun masih tiada klausa khusus menyatakan (majikan swasta tidak boleh berhentikan pekerja wanita yang mengambil cuti bersalin 90 hari), kita harus pegang undang-undang utama iaitu Perlembagaan Persekutuan.

“Majikan tidak boleh memberhentikan pekerja wanita hamil, mereka telah memberi banyak sumbangan dan majikan pula hidup dibantu pekerja sendiri.

“Sekiranya ada berlaku tindakan majikan memberhentikan pekerja wanita kerana mengambil cuti 90 hari, laporkan perkara itu dan kementerian akan melakukan siasatan,” katanya ketika menggulung Rang Undang-Undang Perbekalan 2018 peringkat dasar bagi kementeriannya di Dewan Negara hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pembentangan Bajet 2018 pada 27 Okt lepas mengumunkan cuti bersalin mandatori untuk sektor swasta dinaikkan daripada 60 hari kepada 90 hari seperti yang dilaksanakan oleh perkhidmatan awam.

Ismail berkata, cadangan cuti bersalin 90 hari dilaksanakan dalam dua fasa iaitu pertama melibatkan sesi libat urus dengan mendapat pandangan dan maklum balas daripada pihak berkepentingan.

Fasa kedua pula ialah dengan melakukan pindaan ke atas Seksyen 37 Akta Kerja 1995, Seksyen 83 Ordinan Buruh Sabah Bab 67 dan Seksyen 84 Ordinan Buruh Sarawak Bab 76, katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast