Shaiful Hazizy Zainol Abidin

KUALA LUMPUR – Tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa kerajaan di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Razak menyebabkan kehilangan wang berjumlah RM163 bilion merupakan satu muslihat bagi menyelamatkan dirinya daripada skandal urusniaga mata wang asing (forex).

Menurut Ketua Pemuda UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin, dakwaan Mahathir itu merupakan satu cubaan untuk mengalihkan perhatian umum berkenaan isu ketirisan yang berlaku terhadap dirinya.

“Bagi Pemuda Kedah tindakan ini seolah-olah ingin mengalih perhatian ataupun daripada isu sebenar yang dilihat bertanggungjawab menyembunyikan fakta sebenar kerugian daripada Kabinet pada waktu itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Shaiful, penurunan rizab kerajaan hari ini juga bukanlah disebabkan oleh kecuaian dan kelemahan dalam kerajaan, sebaliknya faktor ekonomi global.

“Pemuda UMNO Kedah ingin menyatakan bahawa penurunan rizab kerajaan pada ketika tertentu bukanlah di sebabkan kecuaian ataupun ketidakcekapan sesebuah kerajaan mengurus ekonomi, tetapi ianya lebih menjurus kepada keadaan dan faktor matawang dan keadaan ekonomi dunia.

“Sebagai bekas Menteri Kewangan, Tun Dr Mahathir seharusnya mengetahui bahawa penyusutan dan pertambahan rizab adalah bergantung kepada lebihan dagangan antarabang dan pengaliran masuk modal ke dalam negara. Secara dasarnya ianya boleh bertambah dan menguncup berdasarkan keluar dan masuk matawang Amerika Syarikat.

“Oleh yang demikian, Pemuda UMNO Kedah menggesa agar Tun Mahathir untuk tidak terus-menerus mengelirukan rakyat demi ingin menutup kepincangan diri sendiri,” katanya.

Pada masa yang sama, Pemuda UMNO Kedah menggesa agarpolis dengan segera memanggil pihak yang bertanggungjawab terhadap skandal forex untuk dibawa ke muka pengadilan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast