KUALA LUMPUR, 14 Dis -- Para kakitangan Air Selangor Sdn Bhd melakukan operasi memotong paip-paip yang menyalurkan bekalan air curi ketika mengadakan Operasi Penguatkuasaan secara mengejut ke atas tapak pembinaan Projek Penswastaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang di Jalan Kolam Air Lama Ampang hari ini.?Bekalan air yang dicuri digunakan untuk kegunaan mencuci tayar lori yang keluar dari tapak pembinaan dan turut digunakan di kabin yang dijadikan tempat rehat pekerja serta tandas untuk kegunaan harian.?--fotoBERNAMA (2017) HAK CIPTA TERPELIHARA?

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) hari ini menjalankan operasi pemotongan air bekalan air haram di tapak pembinaan projek penswastaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE).

Pengarah Unit Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Pengguna SPAN Mohd Fazil Ismail berkata operasi itu dijalankan susulan aduan diterima daripada Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berhubung kes kecurian air.

Beliau berkata pemeriksaan di tapak projek SUKE berhampiran Jalan Kolam Air Lama, Ampang menemukan satu sambungan bekalan air tidak sah secara ‘short piece’ pada tetiang meter menggunakan paip poli bersaiz 32mm untuk digunakan rumah rehat pekerja, tandas dan mencuci lori keluar masuk tapak projek.

“Kerugian dianggarkan RM348,875 atau 153,015.36 meter padu bagi jumlah kehilangan air tidak berhasil,” katanya kepada media di tapak projek SUKE itu, di sini hari ini.

Katanya notis kesalahan telah dikeluarkan oleh Air Selangor kepada pemaju projek SUKE untuk tuntutan ganti rugi bagi kegunaan air tidak sah.- BERNAMA