KUALA LUMPUR – Hasrat Azwan Ali untuk berjumpa dengan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim akhirnya tercapai hari ini.
Razali mendedahkan Azwan Ali datang bertemunya dan perbualan mereka berkisar tentang keinginannya untuk membuat aduan berhubung salah laku rasuah yang berlaku melibatkan ahli keluarganya seperti yang didakwa pengacara itu sebelum ini.
Azwan Ali dikatakan membawa bahan bukti untuk ditunjukkan kepada Razali namun Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu menolak untuk melihatnya kerana berpendirian ianya perlu diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Viral video dia nak jumpa saya, sebagai pemimpin kita jumpa ramai orang, jadi bila ada kenyataan daripada rakyat nak jumpa, saya tiada masalah nak jumpa dan mendengar apa yang nak disampaikan.
“Akhirnya kita dapat jumpa hari ini. Saya beritahu kalau urusan hal keluarga saya tidak dapat bantu, dia pun faham.
“Cuma dia kata ada perkara yang lebih mustahak yang mahu dikongs. Jadi saya beritahu dia, saya Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga SPRM tetapi bukan agensi yang menyiasat. Jadi saya cadangkan kepada dia untuk mengemukakan apa juga bukti yang dia ada kepada SPRM.
“Jadi dia bersetuju, saya tidak tengok. Saya tidak mahu tengok bahan bukti yang dia ada sebab saya bukan agensi yang menyiasat tetapi bila saya cadangkan dia bersetuju,” katanya kepada pemberita.
Namun apa yang ditegaskan oleh Azwan adalah berkenaan dengan isu yang sedang disiasat oleh SPRM.
Razali memaklumkan pertemuannya dengan Azwan berlangsung selama dua jam bermula lebih kurang pada 12.30 tengah hari tadi di bangunan Parlimen.
Susulan itu, Razali memaklumkan SPRM sedia mendengar keterangan dan melihat sendiri bukti-bukti yang dimiliki Azwan pada Rabu ini, jam 10 pagi.
Pengacara yang merupakan adik Menteri Besar Selangor Azmin Ali sebelum ini mendakwa akan mendedahkan rahsia mengenai abangnya itu yang telah disimpan sejak sekian lama. -MalaysiaGazette