KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan akan mengeluarkan arahan serta merta kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk menghalang kemasukan kenderaan bercermin gelap ke dalam negara.
Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi berkata, arahan ini dibuat ekoran kebimbangan berlakunya aktiviti-aktiviti penyeludupan dadah dan kumpulan Daesh oleh kenderaan asing yang keluar masuk ke dalam negara.
“Saya akan mengarahkan pihak JPJ utk mengambil tindakan drastik dan tidak membenarkan cermin gelap untuk masuk ke Malaysia. Mmaknanya kalau nak masuk Malaysia kena buka cermin gelap,” katanya yang bersetuju dengan kerisauan yang disuarakan oleh Senator Datuk Abdullah Mat Yassin ketika persidangan Dewan Negara hari ini.
Namun Aziz menegaskan, menerusi Sistem Permit Masuk Kenderaan (VEP) yang akan dilaksanakan kelak merangkumi isu yang disuarakan oleh Abdullah hari ini.
Terdahulu pelaksanaan VEP yang dijadualkan bermula Januari ini ditangguhkan hingga perincian penyeragaman peraturannya dimuktamadkan bagi semua pintu masuk negara.
Ini berikutan penyeragaman beberapa peraturan perlu dilakukan sebelum ia dikuatkuasakan. -MalaysiaGazette