Naib Presiden Persatuan Industri Muzik Malaysia (MIM), Fareez Ahmad bercakap pada sidang media selepas taklimat pembiayaan perniagaan khas kepada penggiat seni di Ibu Pejabat Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Kuala Lumpur. foto NIZAM ZAIN, 19 DISEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Persatuan Industri Muzik Malaysia (MIM) menegaskan pihaknya tidak mengaut keuntungan di sebalik skim pembiayaan perniagaan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) untuk penggiat muzik di negara ini.

Naib Presidennya, Fareez Ahmad berkata, usaha dengan kerjasama PUNB itu semata-mata untuk membantu artis tempatan mendapat pembiayaan bagi memasarkan produk muzik dan lain-lain perniagaan yang diceburi.

“Kami (MIM) tidak mengaut apa-apa keuntungan, harap isu ini kita tidak kaitkan dengan program kita untuk kita memberi peluang kepada insan seni mendapat pembiayaan perniagaan mereka.

“Tak ada langsung niat berkepentingan, jadi kita mengeluarkan surat sokongan secara sukarela untuk kita melihat bagaimana perniagaan mereka boleh diperluaskan,” katanya pada sidang media selepas sesi taklimat pembiayaan perniagaan di ibu pejabat PUNB, di sini, lewat petang tadi.

Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Tan Sri Mohd Ali Mohd Rustam (tengah) bersama Presiden Persatuan Industri Muzik Malaysia (MIM), Rahman Ayob (kiri) dan Naib Presiden Persatuan Industri Muzik Malaysia (MIM), Fareez Ahmad (kanan) bercakap pada sidang media selepas taklimat pembiayaan perniagaan khas kepada penggiat seni di Ibu Pejabat PUNB, Kuala Lumpur. foto NIZAM ZAIN, 19 DISEMBER 2017

Fareez juga berkata, sekiranya ada mana-mana pihak atau beliau sendiri yang meminta bayaran tertentu untuk mendapat dana PUNB, mereka digesa membuat laporan polis.

“Saya tidak minta imbuhan, kita buat kerana Allah, kalau ada yang minta duit, ada yang minta imbuhan, kita lapor kepada polis.

“Tiada orang saya minta duit, saya buat memang kerana Allah untuk kita membentuk satu generasi artis kita yang berekonomi dan berwawasan.

“Kita lihat bagaimana hendak membantu insan-insan seni bukan saja pemuzik, bukan sahaja penyanyi, malah pelakon dan penggiat-penggiat seni,” jelasnya.

Fareez berkata lagi, seramai 50 artis muzik tempatan bakal terlibat dalam taklimat skim pembiayaan perniagaan PUNB yang julung kali diperkenalkan kepada penggiat seni itu.

Katanya, selain menjana penjualan produk muzik tempatan dalam talian, rakaman muzik dan persembahan mingguan di taman-taman tema, pihaknya juga menerima permohonan untuk pembiayaan perniagaan makanan. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast