Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Sekolah Kebangsaan Taman Semarak, Nilai, Azizan Manap bercakap pada sidang media ringkas selepas dilepaskan tanpa bebas daripada pertuduhan mencederakan muridnya berikutan Jabatan Peguam Negara mengarahkan kes terbabit ditarik balik di Mahkamah Majistret Seremban. foto SAFWAN MANSOR, 19 DISEMBER 2017

SEREMBAN – Satu cadangan untuk mewujudkan Kod Etika Ibu Bapa untuk dijadikan panduan atau tatacara berurusan dengan guru-guru perlu dirangka.

Kod etika itu bagi memberi perlindungan kepada guru-guru dalam mengurus disiplin pelajar-pelajar di sekolah masing-masing.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Harry Tan Huat Hock berkata, menerusi kod etika itu masyarakat terutama ibu bapa tidak mudah mengambil tindakan terhadap guru disiplin yang menjalankan tugasnya secara berhemah.

“NUTP sedari tugas mendidik murid era ini amat mencabar dan boleh dikatakan saban hari kebanyakan guru disiplin akan menghabiskan masa untuk mengatasi masalah disiplin murid di sekolah.

“Sedangkan tugas utama mendisiplinkan murid merupakan tanggungjawab ibu bapa itu sendiri,” katanya ketika ditemui di luar Kompleks Mahkamah Seremban di sini hari ini.

Menurut Harry, cadangan mewujudkan kod etika itu juga akan dapat memberi latihan khusus untuk menangani masalah displnin seperti kes berulang, kes berat atau kritikal.

Terdahulu, Mahkamah Seremban hari ini menggugurkan tuduhan terhadap Penolong Kanan Hal Ehwal Murid Sekolah Rendah Taman Semarak Nilai, Negeri Sembilan, Cikgu Azizan Manap yang dituduh memukul seorang anak muridnya Oktober lepas.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

Jika disabit kesalahan Azizan boleh dihukum setahun penjara, denda RM2,000 atau kedua-dua sekali.

Kehadiran Azizan di Mahkamah Seremban mendapat sokongan lebih 200 orang terdiri dalam kalangan guru yang datang dari seluruh negara.

Lagu ‘Kami Guru Malaysia’ berkumandang di luar mahkamah sejurus keputusan pengguguran kes itu diketahui guru-guru dan mereka yang hadir – MalaysiaGazette