Mohd Ali Mohd Rustam

KUALA LUMPUR – Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) buat julung kali memperkenalkan skim pinjaman mudah sehingga RM10 juta khas untuk penggiat seni tempatan.

Pengerusinya, Tan Sri Mohd Ali Mohd Rustam berkata, menerusi dana itu, penggiat seni khususnya dalam industri muzik mampu meraih pendapatan lumayan menerusi bidang keusahawan dan perniagaan.

“PUNB hari ini berbincang bagaimana kita boleh membiayai artis-artis yang berminat dengan keusahawanan dalam industri muzik negara

“Kita hari-hari menedengar muzik, namun kita masih belum melahirkan ramai jutawan muzik berbanding negara Eropah, dan negara maju lain.

“Semua pinjaman PUNB boleh melibatkan industri muzik khususnya penjualan rekod muzik sama ada baharu mahupun lama, rakaman lagu serta produk muzik dalam talian,” katanya pada sidang media ibu pejabat PUNB, di sini, hari ini.

Terdahulu Mohd Ali merasmikan taklimat khas pembiayaan perniagaan PUNB khas kepada penggiat muzik tempatan yang berakhir lewat petang tadi.

Mohd Ali juga berkata, PUNB boleh memainkan peranan untuk melonjakkan industri muzik negara ini dengan penjualan produk muzik dalam talian yang lebih menguntungkan penggiat seni.

“Banyak syarikat muzik antarabangsa kalau kita nak berhibur kena bayar yuran untuk satu lagu semuanya dalam talian.

“Kalau perkara ini boleh diambil kesempatan, khususnya dalam perdagangan dalam talian, PUNB yakin boleh membiayainya,” katanya.

Katanya lagi, buat permulaan, PUNB akan mewujudkan satu konsortium bersama Persatuan Industri Muzik Malaysia (MIM) bagi memantau dan memastikan penggiat seni memanfaat dana itu untuk menjual produk muzik dengan lebih berkesan.

“Jika artis sanggup membuat persembahan di taman-taman tema, bila hujung minggu senang kita nak kongsi pendapatan.

“Sekarang dalam e-commerce ekonomi digital di mana perdana menteri sedang tekankan, artis juga boleh melihat ini sebagai satu bidang baharu.

“Saya berharap arti-artis Malaysia dapat berniaga dengan berjaya seperti mana boleh dilihat di negara barat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast