KUALA LUMPUR – PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menutup sementara operasi lorong tambah nilai di semua plaza tol miliknya pada 22 Disember 2017 sehingga 2 Januari 2018 bersempena cuti perayaan Krismas dan Tahun Baharu.
Ketua Pegawai Operasi, Zakaria Ahmad Zabidi berkata, langkah itu bagi mengurangkan kesesakan yang dijangka akibat orang ramai beratur di lorong-lorong tambah nilai.
Bagaimanapun penutupan itu tidak melibatkan Plaza Tol Bukit Kayu Hitam dan Bangunan Sultan Iskandar.
“Secara puratanya, satu transaksi urusan tambah nilai boleh mencecah sehingga 3 minit untuk setiap kenderaan.
“Penutupan lorong tambah nilai di plaza tol adalah amat perlu bagi mengelakkan kesesakan disebabkan oleh pengguna lebuh raya beratur untuk menambah nilai kad mereka pada musim perayaan ini.”
“Dengan itu, PLUS menasihatkan pengguna lebuh raya supaya memastikan kad mereka mempunyai baki yang mencukupi sebelum memasuki lebuh raya atau menambah nilai kad di 9,200 lokasi lain yang terdiri daripada mesin ATM, kedai serbaneka 24-jam, stesen-stesen minyak dan lain-lain lagi.
“Pengguna juga boleh menambah nilai kad mereka di semua stesen minyak di semua R&R di sepanjang lebuh raya,” katanya.
Langkah yang sama telah diambil oleh PLUS pada musim-musim perayaan yang lalu.
“Berdasarkan pemerhatian dan kajian kami, langkah menutup sementara semua perkhidmatan lorong tambah nilai pada musim perayaan yang lalu telah berjaya mengurangkan kesesakan di plaza tol.
“Justeru itu, kami akan menggunakan pendekatan yang sama pada musim perayaan ini dan perayaan yang akan datang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette