Tan Sri Shahrir Abdul Samad. UMNO President Prime Minister
Tan Sri Shahrir Abdul Samad.

KUALA LUMPUR – “Saya kagum (I was amazed), senangnya nak pindah milik tanah milik institusi,” sinis jawapan Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Samad ketika ditanya perasaannya berhubung isu pindah milik tanah agensi itu di Jalan Maktab dekat sini oleh syarikat Synergy Promenade Sdn. Bhd., yang diberikan kuasa pentadbir (PA) kepada syarikat itu sendiri.

Jelasnya, tanah institusi mempunyai pelbagai sekatan tertentu yang perlu dipatuhi sebelum boleh dijual atau dipindah milik meskipun pihak berkenaan memiliki PA.

Bagaimanapun, transaksi pindah milik itu dilakukan menerusi empat perjanjian jual beli (SPA) adalah mengikut prosedur biasa namun menurut Shahrir kemungkinan berlakunya pelanggaran pematuhan atau salah guna kuasa di dalam isu ini.

Ini kerana Synergy Promenade diberi PA bagi membolehkannya memajukan tanah tersebut.

Bertegas untuk mendapatkan kembali empat lot tanah bernilai RM270 juta itu, Shahrir berkata, usaha telah dilakukan sejak beliau diberitahu mengenai perkara ini pada Januari lalu.

Antara yang dilakukannya adalah mendapatkan kaveat persendirian kepada tanah berkenaan walaupun pada asalnya Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan tidak meluluskannya kerana pindah milik aset berkenaan oleh Synergy Promenade kepada syarikat itu sendiri adalah sah.

Perkara tersebut kemudiannya dibawa ke perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Unit Kawal Selia, Jabatan Perdana Menteri yang bertanggung jawab ke atas Felda.

Felda akhirnya berjaya mendapatkan kaveat persendirian pada April lalu dan dalam masa yang sama rundingan bersama Synergy Promenade turut diadakan.

Namun rundingan menemui jalan buntu.

Selepas mendapatkan pandangan Peguam Negara dan Perdana Menteri pula memutuskan supaya satu laporan polis dibuat kerana terdapat unsur-unsur salah laku, Shahrir akhirnya membuat laporan tersebut selain merancang untuk mengambil tindakan sivil terhadap pihak yang terlibat.

“Pada asalnya saya cuma diberitahu ada tiga SPA sahaja tetapi apabila disemak, rupa-rupanya ada empat.

“SPA pertama ditandatangani pada November 2015 dan tiga lagi dimeterai pada November 2016,” katanya lagi.

Ia melibatkan penjualan tanah seluas 12,658 meter persegi yang berharga RM54.5 juta (SPA pertama), tanah seluas 24,000 meter persegi bernilai RM96.9 juta (SPA kedua), tanah seluas 3,000 meter persegi bernilai RM12 juta (SPA ketiga) dan tanah seluas 26,500 meter persegi bernilai RM106.4 juta (SPA keempat).

Kesemua tanah tersebut sebelum ini menempatkan Anjung Felda dan beberapa bangunan pentadbiran Felda sebelum ia berpindah ke pejabat baharu di Menara Platinum.

“Kami bawa perkara ini kepada pihak berkuasa dan mahkamah supaya mahkamah boleh membuat keputusan sekiranya memang berlaku salah laku.

“Tiada bayaran yang kami terima dan semasa rundingan mereka juga enggan menyerahkan semula tanah tersebut.

“Mungkin mereka ada kuasa besar, kita tidak tahu,” katanya lagi.

Ketika ditanya mengenai laporan polis pada 12 Disember lalu, Shahrir menegaskan, ianya dibuat ke atas syarikat Synergy Promenade dan tidak menyatakan sama ada bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad atau mana-mana ahli lembaga pengarah agensi tersebut mahupun anak syarikatnya, Felda Investment Corporation (FIC) terlibat sama.

“Laporan kami hanya kepada Synergy Promenade sahaja, kalau awak hendak tambah (nama Isa), awak boleh tambah,” guraunya.

Beliau juga enggan memberitahu pemilik atau siapa di belakang Synergy Promenade kerana menurut Shahrir apa yang lebih penting ketika ini, Felda mendapat kembali hak mereka.

“Kami hanya mahu tanah itu semula,” tegasnya ketika ditanya apakah beliau sedia melepaskan tanah berkenaan sekiranya Synergy Promenade membuat bayaran seperti dinyatakan di dalam SPA berkenaan.

Dalam pada itu, Unit Kawal Selia, JPM juga sudah melantik auditor bebas untuk menjalankan siasatan terhadap “orang dalam Felda” yang mungkin terlibat di dalam urusniaga itu.

Siasatan akan dimulakan pada Januari ini.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast