Home Utama Hutang dadah punca bunuh ahli kongsi gelap

Hutang dadah punca bunuh ahli kongsi gelap

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd. (dua dari kiri).

JOHOR BAHRU – Polis mengenal pasti punca kejadian pembunuhan seorang ahli kongsi gelap di sebuah stesen minyak di Jalan Sri Pelangi, Taman Pelangi di sini pada Ahad adalah disebabkan hutang pengedaran dadah.

Selain itu, polis turut memaklumkan, seorang lagi lelaki berusia 22 tahun ditahan di bandar raya ini semalam, menjadikan jumlah keseluruhan yang ditahan setakat ini adalah 14 orang iaitu 10 lelaki dan empat wanita berusia antara 16 hingga 26 tahun.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata, punca kejadian itu dikenalpasti hasil soal siasat yang dijalankan ke atas dua suspek yang ditahan di Pulau Pinang kelmarin.

Tambahnya, polis turut mengesahkan, mangsa merupakan seorang ahli kongsi gelap, namun identiti serta maklumat lanjut berhubung lelaki itu tidak dapat didedahkan kerana siasatan sedang giat dijalankan.

“Semua suspek direman selama tujuh hari, bermula semalam hingga 27 Disember ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya pada sidang media Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Beliau berkata, setakat ini, seramai lapan individu sudah dirakam percakapan mereka termasuk saksi kejadian pembunuhan itu.

Pada Ahad, mangsa yang berusia 44 tahun mati ditikam dan dilanggar sekumpulan empat lelaki menggunakan sebuah kereta di sebuah stesen minyak di Jalan Sri Pelangi, Taman Pelangi, di sini.

Kejadian berlaku kira-kira 7.30 malam ketika mangsa bersama-sama seorang wanita warga asing berusia 20-an yang dipercayai isterinya sedang mengisi angin tayar kereta di stesen berkenaan. – MalaysiaGazette.

Comments are closed.