Najib Tun Razak

KUALA LUMPUR – Perlukah Perdana Menteri mengumumkan lebih awal tarikh Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14)?

Itu yang dicadangkan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar, dengan alasan pengumuman awal itu penting supaya rakyat dapat membuat persediaan dan persiapan.

Persoalannya, persediaan dan persiapan macam mana yang rakyat perlu buat sehingga dianggap penting oleh Mahfuz?

Adakah dengan menggunakan nama rakyat, Ahli Parlimen Pokok Sena itu mengharapkan Datuk Seri Najib Tun Razak akan akur dan seterusnya membuat pertimbangan di atas cadangan beliau?

Sedangkan hakikatnya jika ditanya kepada rakyat, rata-rata daripada mereka sudah lama tahu bila PRU 14 bakal diadakan.

Sebagai orang yang mempunyai kuasa dalam menentukan tarikh PRU, Najib tidak perlu melayan cadangan itu. Beliau tahu apa yang beliau dibuat dan dilakukan.

Persiapan rakyat untuk menghadapi PRU bukan memerlukan mereka menyusun atur strategi, memikirkan soal logistik dan keselamatan. Sebagai pengundi, mereka hanya partikan keluar mengundi sahaja.

Masa yang diambil oleh seorang rakyat atau pengundi tidak sampai pun satu jam dari tempoh mereka keluar rumah menuju ke pusat membuang undi. Selesai memangkah, mereka terus pulang.

Mereka tidak perlu fikir siapa hendak jaga kotak kertas undi dan mengira kertas undi atau sebagainya. Itu semua sudah diuruskan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Mahfuz Omar

Di mana rasionalnya cadangan Mahfuz supaya Perdana Menteri mengumumkan tarikh PRU 14 lebih awal? Ini mesti ada undang di balik batu.

Secara umumnya, rakyat sudah tahu bila PRU 14 diadakan. Malah, Mahfuz dan semmua rakan-rakannya dalam Pakatan Harapan (PH) pun sudah tahu.

Perkiraan rakyat dalam mentafsirkan tarikh PRU ialah lima tahun sekali. Paling awalpun empat setengah tahun. Contohnya, PRU 13 diadakan Mac 2013, secara automatik lima tahun selepas itu iaitu April atau Mei atau Jun 2018 tamatlah tempoh penggal PRU 13.

Sejarah 13 kali PRU pula tidak pernah diadakan lewat dari tarikh tempoh tamat penggal atau awal setahun dari tempoh itu.

Maknanya, bila masuk Januari 2018, rakyat boleh buat persiapan dan persediaan untuk menghadapi PRU kalau mereka benar-benar mahu buat persiapan dan persediaan sebagaimana dikatakan oleh Mahfuz.

Mahfuz sendiri pun, melalui kenyataan medianya semalam, tahu tahun depan (2018) adalah tahun PRU14.

“PRU14 sudah pasti akan berlaku pada tahun 2018. Oleh itu, Parlimen akan terbubar dengan sendiri pada 24 Jun 2018,” katanya.

Jadi, bila beliau sudah tahun tarikh PRU14, kenapa perlu mencadangkan lagi kepada Perdana Menteri supaya umum lebih awal?

Beliau sepatutnya tidak perlu fikir soal tarikh PRU. Beliau yang akan mempertahankan kerusi Parlimen Pokok Sena yang perlu fikirkan masa depannya.

Adakah beliau akan dipilih oleh Pas lagi sebagai calon kerusi Parlimen Pokok Sena atau beliau terpaksa menukar parti? Yang pasti, Jawatankuasa Pas Pusat sudah “tawar” dengannya. Kemungkinan besar Pas akan meletakkan calon lain di parlimen itu sebagai ganti.

Itu yang Mahfuz perlu fikirkan, sama ada beliau akan bertanding atas tiket Parti Amanah Negara (PAN) atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Tetapi Mahfuz harus tahu, kedua-dua parti baharu ini pada dasarnya bergantung kepada pengaruh rakan komponennya, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR). Untuk berdiri sendiri, mereka belum ada kekuatan tenaga.

Sekarang ini parti yang kuat dan diterima rakyat ialah komponen Barisan Nasional (BN) seperti UMNO, MCA dan MIC, manakala bagi blok pembangkang pula ialah Pas, DAP dan PKR.

Parti lain selain yang dinyatakan itu hanya sebagai parti hiasan. Kalau menang pun hanya satu atau dua kerusi sahaja.

PAN ada enam Ahli Parlimen ketika ini pun kerana mereka bertanding atas tiket Pas. Begitu juga dua kerusi PPBM iaitu masing-masing satu Parlimen (Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin) dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir (DUN Jerlun).

Kehadiran mereka dalam PH ketika ini tidak boleh dianggap sebagai warganegara Pakatan Harapan. Mereka adalah pendatang tanpa izin yang menumpang atas tiket parti sebelum ini.

Selama mana mereka menang dengan menumpang parti asal, PRU 14 akan menentukan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast