Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Duta Besar Palestin ke Malaysia, Datuk Dr Anwar H Al Agha (lima kanan) bersama yang lain mengaminkan doa untuk kesejahteraan Palestin pada Himpunan Solidariti Selamatkan Baitulmaqdis di Masjid Putra, Putrajaya. foto SAFWAN MANSOR, 22 DISEMBER 2017

PUTRAJAYA – Dalam mempertahankan Baitulmaqdis, umat Islam perlu mengenepikan fahaman masing-masing dan bersatu, gesa Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri membuat perbandingan jumlah umat Islam yang lebih jauh ramai daripada orang Yahudi tetapi tidak mampu menyekat kemaraan mereka sehingga berjaya menakluk kota Palestin yang sebelum ini menjadi kota suci umat Islam.

“Bagi kita umat Islam, ini adalah cabaran lebih besar dan memeritkan kerana kita umat Islam berjumlah 1.6 bilion masih gagal bersatu padu dalam berdepan dengan hanya 13 juta orang Yahudi yang menentukan nasib Baitulmaqdis.

“Yahudi 13 juta, kita boleh kalah dengan 13 juta, tak masuk akal. Hukum akal tak mungkin.

“Kalau kita tak bersatu, kalau kita bercakaran, Allah kata kita kan ditimpa segala-galanya dan kita kan dihina kalau kita tak bersatu,” kata beliau semasa Himpunan Solidariti Baitulmaqdis di Masjid Putra, Putrajaya, selepas solat Jumaat tadi.

Ucapan Najib kemudiaannya disambut dengan laungan takbir Allahuakbar tiga kali oleh ribuan hadirin hari ini.

Himpunan hari ini diadakan bertujuan untuk menyatakan bantahan terhadap pengisytiharan Amerika baru-baru ini berhubung isu Baitulmaqdis, ia sepatutnya dihadiri oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang namun gagal berbuat demikian dipercayai faktor kesihatan.

Anak Hadi, Khalil Abdul Hadi menggantikan dan juga berucap semasa himpunan tersebut.

Menurut Najib lagi, perhimpunan itu membuktikan Malaysia boleh menjadi pemangkin solidariti umat Islam menunjukkan ketegasan penentangan kepada kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin selama ini.

“Hari ini amat bersejarah, kerana tanpa mengira fahaman apa jua politik, tidak kira atas nama parti mana, tidak kira nama ngo, kita berhimpun kerana kita nak menunjukkan bahawa umat Islam negara ini bersatu menentang pengisytiharaan baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

“Kita akan jadikan perhimpunan ini sebagai pemangkin solidariti umat islam di seluruh dunia,” katanya lagi.

Dalam himpunan hari ini, turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan kumpulan NGO yang membantah langkah Amerika Syarikat mengiiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel. – MalaysiaGazette