Iskandar A. Samad

KUALA LUMPUR – Naib Presiden Pas, Datuk Iskandar Abdul Samad hari ini menyangkal dakwaan sebuah portal ada pemimpin parti itu bakal menyertai PKR di Selangor.

Ujarnya, laporan The Malaysian Insight (TMI) itu dakwanya satu khabar angin yang sengaja dicipta untuk mengganggu persiapan Pas negeri itu dalam menghadapi PRU-14.

“Laporan media bahawa beberapa orang Ahli Dewan Negeri serta pimpinan Pas Selangor akan menyertai PKR adalah tidak benar.

“Ia juga adalah bertujuan untuk mewujudkan kegusaran dalam kalangan ahli-ahli agar mereka hilang tumpuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Portal TMI awal hari ini, melaporkan jentera pilihan raya PKR Selangor diminta bersedia untuk menerima gelombang kemasukan kedua pemimpin dan ahli Pas di negeri itu.

Malah laporan berkenaan turut berkata mereka bertanding atas tiket PKR dalam PRU-14 kelak.

Gelombang berkenaan lapor TMI, akan melibatkan wakil rakyat dari Pas Selangor yang tidak berpuas hati dengan hala tuju Pas sekarang.

Jelas Iskandar, ramai penyokong parti itu terkejut dengan laporan berkenaan dan menolak ada aktiviti itu akan berlaku di Selangor.

“Sebarang berita yang berunsur spekulasi perlu diabaikan sahaja. Mereka tidak sepatutnya terperangkap dengan strategi musuh yang mahu persiapan pilihan raya Pas lumpuh.

“Musuh mahu melihat pimpinan dan ahli-ahli Pas curiga-mencurigai di antara satu sama lain,” katanya. -MalaysiaGazette.