KUCHING – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu perbalahan antara Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dengan parti serpihannya Parti Rakyat Bersatu (UPP) diselesaikan sebelum pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Katanya sebagai pengerusi Barisan Nasional (BN) beliau percaya Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mempunyai formula untuk menyelesaikan perkara tersebut.
“Saya minta selesaikan soal ini. Saya percaya Abang Johari ada formula macam mana nak selesaikan sebelum PRU14 untuk SUPP kembali sebagai barisan yang kukuh sebagai SUPP yang satu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan pada majlis penutupan Persidangan Perwakilan Tritahunan SUPP ke-24 di Kuching pagi ini. Turut hadir Abang Johari yang juga pengerusi BN Sarawak dan Presiden SUPP Datuk Dr Sim Kui Hian.
Terdahulu Dr Sim dalam ucapannya berkata perwakilan bersetuju dengan resolusi untuk ‘tolak calon langsung BN’ pada PRU14 nanti.
Dalam ucapannya di hadapan perwakilan yang hadir, Najib berkata beliau mahu SUPP kembali menjadi sebuah parti pilihan di Sarawak.
Katanya berbanding pada persidangan tiga tahun lalu, kali ini beliau dapat merasakan SUPP sudah memiliki ‘perpaduan yang semakin utuh’.
“Saya berasa amat senang hati hari ini, pertama kerana hampir semua perwakilan yang hadir memakai baju warna kuning tanda perpaduan dan pembaharuan kukuh SUPP.
“Saya mahu SUPP menjadi parti pilihan rakyat Sarawak sama seperti Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) serta lain-lain parti berasal dari negeri ini,” katanya.
Najib turut menggariskan tiga perkara yang boleh menjadi kekuatan SUPP.
“Tiga perkara ialah mempunyai perancangan, perancangan itu mampu dilaksanakan dengan baik dan juga perpaduan serta kesepaduan,” katanya.
Sementara itu, perdana menteri turut mengumumkan sumbangan 50 peratus dana untuk tabung pembiayaan mikro yang akan dikendalikan SUPP.
“Saya beri 50 peratus jumlahnya, berapa itu kita runding kemudian, 50 peratus lagi akan diberikan oleh kerajaan negeri.
“Berkenaan permintaan Dr Sim dalam ucapan tadi supaya Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Bako, Kuching dipindahkan, saya luluskan juga,” katanya.- BERNAMA
Comments are closed.