Penasihat Kumpulan Ibu Bapa dan Sokongan Anak-anak Kanser (KIDS), Prof. Madya Shukri Mohamed (tengah) bergambar bersama penerima bantuan pada Program Kembali ke Sekolah untuk anak-anak kanser KIDS 2017 di Hotel Kuala Lumpur International, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 24 DISEMBER 2017.

KUALA LUMPUR – Seramai 150 kanak-kanak penghidap kanser dirai oleh Kumpulan Ibu Bapa dan Sokongan Anak-anak Kanser (Kids) hari ini.

Mereka dirai melalui Program Kembali ke Sekolah yang memasuki edisi kelima penganjurannya tahun ini.

Pengerusi Kids, Hamidah Tajudin berkata, selain merapatkan hubungan sesama ahli keluarga pesakit kanser, program tahunan itu merupakan wadah bagi merangsang semula semangat kanak-kanak terlibat kembali ke sekolah setelah sebulan bercuti.

Katanya, saluran interaktif dan santai melalui program Kembali ke Sekolah itu membolehkan Kids membina dan menanam keyakinan bagi pesakit dan keluarga mereka bahawa kehidupan mereka bukan terbatas di wad sahaja.

“Sejumlah RM40,000 diperuntukkan bagi program ini termasuk penyerahan beg sekolah bagi pesakit dan penyampaian Anugerah Pelajar Cemerlang Kids yang terdiri daripada anak-anak berusia 4 hingga 17 tahun.

Hamidah Tajudin

“Selain kanak-kanak yang menghidap pelbagai jenis komplikasi kanser, ibu bapa mereka turut dirai di mana 620 orang ahli keluarga kesemua pesakit turut meriahkan acara.

“Jadi, saluran ini menjadi penghubung bagi kami dan meyakinkan mereka melalui rawatan kimoterapi, anak-anak istimewa ini berpeluang untuk kembali semula ke sekolah,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Kembali Ke Sekolah Kids 2017 di sini hari ini.

Menurut Hamidah, berdasarkan kes dilaporkan, hampir 200 kanak-kanak dikesan menghidap pelbagai jenis kanser setiap tahun seperti leukemia, kanser sel dan ovari, kanser limfoma serta lain-lain.

Dalam pada itu, beliau berharap agar ibu bapa kanak-kanak yang menderita penyakit itu agar tidak berhenti berdoa supaya diberikan kesembuhan oleh Allah selepas menjalani rawatan kimoterapi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast