SHAH ALAM – Program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri tidak berkepentingan untuk rakyat miskin.
Ini kerana program itu hanya diberikan kepada ibu tunggal yang berpendapatan bawah RM2,000 sebulan dan terhad 500 orang sahaja berbanding Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang dilaksanakan kerajaan Barisan Nasional (BN).
Menurut Ketua Penerangan Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Zein Isma Ismail, dakwaan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kononnya KISS lebih baik daripada BR1M adalah satu pembohongan besar kepada rakyat negeri itu.
“BR1M bersifat nasional dan menetapkan had kelayakan yang lebih munasabah iaitu berpendapatan RM4,000 ke bawah berbanding RM2,000 pendapatan bulanan seisi rumah bagi program KISS.
“Pemberian BR1M pula terbukti diiktiraf oleh semua pihak, malah satu pemberian dari kerajaan BN yang ikhlas kepada semua rakyat, termasuk mereka yang menyokong DAP, Pas, PKR dan sebagainya,” katanya kepada media di sini, semalam.
Tambah Zein Isma, syarat permohonan KISS pula lebih ketat berbanding BR1M, yang mana kerajaan negeri menetapkan pemohon atau ibu tunggal mesti menyokong Pakatan Harapan (PH).
Kata beliau, kerajaan negeri jelas bermain wayang dan mengaburi mata rakyat di Selangor dengan gula-gula seumpama itu.
“Lebih malang, jika ibu tunggal berkenaan sudah menerima bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan menerima BR1M, maka mereka tidak layak memohon KISS walaupun pemohon itu menyokong tegar pembangkang.
“Pemohon juga perlu mendapatkan borang permohonan di pejabat wakil rakyat yang dimenangi PH.
“Ibu tunggal yang layak di bawah program KISS perlu pergi jauh untuk membeli barang keperluan dan ini sudah tentu menyusah dan menyukarkan mereka,” ujar beliau.
Menurut Zein Isma, BR1M tidak ada kepentingan politik dan permohonan tidak dilakukan di pejabat ADUN sebagaimana KISS.
“Jelas pada kita perancangan yang dibuat oleh kerajaan Selangor ini berniat politik untuk mengaburi rakyat dan untuk sokongan kepentingan mereka,” katanya. – MalaysiaGazette
kerajaan negeri selangor sepatutnya memberikan bantuan dengan syarat yang munasabah. bantuan perlu benar-benar ingin ringankan beban keseluruhan rakyat selangor dan bukannya dilakukan sekadar ada.