KUALA LUMPUR – Sebuah lagi NGO, Teras Pengupayaan Melayu (Teras) tampil mengecam tindakan memindah hak milik tanah Felda di Jalan Semarak kepada pemaju yang diberikan hak mutlak dengan menyifatkan ia satu pengkhianatan kepada bangsa Melayu sendiri.
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, tindakan tersebut tidak boleh diterima sama sekali memandangkan Felda merupakan sebuah agensi yang diberikan tanggjngjawab untuk menjaga aset orang Melayu.
“Felda adalah aset bangsa Melayu terbesar. Jika ia disalahurus, maka tidak ada pengkhianatan yang lebih besar dari ini,” kata beliau dalam satu kenyataan media hari ini.
Mohd Azmi mempersoalkan latar belakang pemaju yang diberikan tanah tersebut dan mahu Felda mendedahkan individu dibelakangnya.
“Siapakah yang membuat keputusan tersebut? Siapakah pemilik syarikat Synergy Pormenade Sdn Bhd yang diberi kuasa penuh membangun tapak tanah tersebut?” katanya.
Beliau turut mendesak supaya rombakan dilakukan terhadap pengurusan Felda berikutan banyak kepincangan yang didedahkan.
Pada 12 Disember lalu, Felda membuat laporan polis berhubung kemungkinan berlaku penipuan dalam urusan penukaran hak milik tanahnya di Jalan Semarak oleh syarikat Synergy Prominade Sdn Bhd.
Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Samad memaklumkan pihaknya mendapat maklumat urusan berkenaan sebaik sahaja dilantik pada Januari lalu. – MalaysiaGazette