JERUSALEM – Israel mendakwa sekurang-kurangnya 10 buah negara akan memindahkan kedutaan mereka ke Baitulmaqdis.

Ia merupakan susulan selepas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Timbalan Menteri Luar Israel, Tzipi Hotovely berkata, kenyataan Trump mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negaranya akan mencetuskan gelombang.

“Kami sudah berhubung dengan sekurang-kurangnya 10 negara, sebahagiannya di Eropah untuk membincangkan pemindahan itu,” katanya seperti dilapor laman portal egypttoday hari ini.

Beliau berkata demikian sehari selepas Guatemala memaklum akan memindahkan kedutaannya ke Baitulmaqdis.

Langkah Guatemala itu disifatkan pegawai Palestin sebagai memalukan.

Terdahulu, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) membuat keputusan menolak pengiktirafan Donald Trump menjadikan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel, dan rancangannya memindahkan kedutaan AS dari Tel Aviv ke bandar yang dijajah dan diduduki secara haram oleh rejim Israel.

Resolusi itu menegaskan pendirian tetap PBB berhubung kedudukan kota suci itu sejak 1967.

Bagaimanapun Amerika Syarikat menggunakan kuasa vetonya untuk menolak deraf resolusi berkenaan. – MalaysiaGazette