KUALA LUMPUR – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak pernah mengeluarkan kenyataan bahawa semua anggota Kabinet mesti terdiri dari kalangan Melayu muslim.
Sebaliknya, kenyataan beliau yang telah disalahertikan pihak tertentu itu menyatakan, Pas menegaskan kepentingan dan keperluan untuk orang Melayu-Islam menjadi teras Perdana Menteri sebagai menteri Kabinet dalam sistem politik dan struktur pentadbiran negara berdasarkan fiqh politik Islam
Ketua Penerangan Pas Pusat, Nasrudin Hassan menjelaskan, beliau telah meneliti di sebalik kenyataan Abdul Hadi sebelum ini dan ternyata ia sengaja diputarbelitkan pihak tertentu untuk memburuk-burukkan kepimpinan parti itu.
“Tidak ada satu pun ayat dan huraian (kenyataan) yang dibuat oleh Presiden Pas dalam artikelnya sebelum ini yang menyatakan bahawa semua anggota Kabinet mestilah terdiri dari kalangan orang Melayu muslim.
“Bahkan, Abdul Hadi turut mengakui dan mengiktiraf kedudukan serta peranan bukan Islam dalam sesebuah kerajaan,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.
Menurutnya, adalah jelas mesej penting dilontarkan Abdul Hadi ialah Islam sangat terbuka dalam menerima pelantikan bukan Islam sebagai menteri Kabinet berbanding sistem parti politik moden yang hanya menerima dari kalangan idelogis mereka sahaja.
Kata beliau, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang turut menjelaskan, dalam aspek politik, Islam tegas mewajibkan kepimpinan utama yang menjaga dasar dan konsepnya daripada penganut Islam dan menerima bukan Islam dalam aspek kepakaran dan pengurusan, bukannya perkara dasar serta konsep.
“Adapun kenyataan presiden yang menyebut, “Islam meletakkan mestilah ketua negara dan anggota Kabinetnya yang berakidah Islam daripada bangsa yang paling berpengaruh”, bukan bermaksud semua ahli Kabinet, tetapi merujuk kepada ahli Kabinet bagi menteri Kabinet untuk kementerian tertentu yang disyaratkan mesti beragama Islam menurut kaedah fiqh Islam.
“Ia berdasarkan juga kepada kaedah pembahagian kementerian yang dibuat dalam fiqh politik Islam kepada Wizarah al-Tafwidh dan Wizarah al-Tanfiz. Jika diteliti keseluruhan artikel presiden, perkara ini dapat difahami dengan mudah.
“Saya berharap tiada pihak sengaja cuba mencetus salah faham atau menyelewengkan pendirian dan sikap sebenar Pas berkenaan perkara ini kerana Pas sangat memahami realiti masyarakat majmuk di negara ini,” katanya. – MalaysiaGazette