Shahnon Ahmad

KUALA LUMPUR – Sasterawan Negara (SN), Prof Emeritus Datuk Dr. Shahnon Ahmad, 84, meninggal dunia di Hospital KPJ Kajang dekat sini, hari ini.

Allahyarham yang juga bekas Ahli Parlimen Sik menghembuskan nafas terakhir pada kira-kira jam 7.30 pagi ini kerana sakit tua.

Menurut Setiausaha Agung Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Saifullizan Yahaya, beliau dimaklumkan berita itu oleh anak Allahyarham, Asrul Sani.

“Jenazah akan disolatkan di Surau Madani Seksyen 3 Bandar Baru Bangi selepas solat Zuhur hari ini,” katanya.

Allahyarham meninggalkan seorang balu dan empat anak.

Allahyarham Shahnon yang dilahirkan pada tahun 1933 di Sik, Kedah terkenal dalam kalangan dunia sastera dan menerima anugerah SN pada tahun

Dilahirkan pada 13 Januari 1933 di Kampung Banggul Derdap, Sik Kedah, Shahnon adalah antara novelis dan cerpenis terkenal dalam dunia sastera sekitar awal 50-an.

Pada 1982, beliau menerima anugerah Sasterawan Negara kedua selepas Allahyarham Dr. Kamaludin Muhammad atau Keris Mas tahun 1981.

Allahyarham mula menghasilkan novel pertamanya, Rentong pada 1956 dan sejak itu namanya semakin dikenali dalam dunia sastera.

Novel ketiga beliau Ranjau Sepanjang Jalan (1966) dijadikan teks sastera tingkatan enam dan diangkat ke layar perak pada 1983.

Selain itu, novel Srengenge (1973) juga memenangi anugerah Novel Tahunan Malaysia pada tahun 1970.

Allahyarham terlibat dalam politik sebagai ahli Pas dan bertanding di kerusi Parlimen Sik melawan calon Barisan Nasional (BN), Allahyarham Tan Sri Abdul Hamid Othman pada Pilihan Raya Umum ke-10 (PRU 10) tahun 1999.

Dalam pertandingan itu, Allahyarham Shahnon menang dengan majoriti 478 undi. Beliau mendapat 13,504 undi, manakala Abdul Hamid mendapat 13,026 undi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Comments are closed.