Anggota Bomba dan Penyelamat Negeri Johor sedang memadam kebakaran kereta Proton Persona di KM41 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan di Kulai, Johor.

KULAI – Seorang bapa maut manakala isteri dan anak perempuannya terselamat selepas kereta Proton Persona dinaiki mereka terbakar dipercayai akibat kemalangan jalan raya di KM41 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan di sini awal pagi ini.

Mangsa, Muhammad Rusdi Yakob berusia dalam linkungan 29 tahun maut ditempat kejadian dan ditemukan terbakar di kerusi pemandu oleh pihak Bomba dan Penyelamat Negeri Johor sejurus selesai kerja memadam kereta yang terbakar itu.

Difahamkan, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Kulai manakala isteri mangsa yang berusia 30 tahun dan anak perempuan mereka berusia 3 tahun dihantar ke hospital sama untuk mendapatkan rawatan kerana mengalami kecederaan.

Menurut Bomba dan Penyelamat Negeri Johor, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu kira-kira pada 6 pagi ini dan operasi tamat sepenuhnya pukul 7.20 pagi.

“Maklumat yang diterima, kebakaran sebuah kereta jenis Proton Persona akibat kemalangan jalan raya.

“Kebakaran memusnahkan keseluruhan kereta dan tiga mangsa terlibat dengan salah seorang daripada mereka maut.

“Punca dan anggaran kerugian masih dalam siasatan,” kata Bomba dan Penyelamat Negeri Johor.

Tambah pihak bomba, buat masa ini, tiada pengesahan boleh dibuat berkenaan sama ada kemalangan itu melibatkan kenderaan lain atau tidak.

Bagaimanapun, semasa pihak bomba sampai di tempat kejadian kereta itu telah terbakar sepenuhnya dan tiada kenderaan lain berhampiran kawasan itu. – MalaysiaGazette.