Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 20 DISEMBER 2017

MELAKA – Israel dan sekutunya mencabar keamanan dan keharmonian di Baitulmuqaddis yang didambakan masyarakat dunia, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, hakikatnya masyarakat dunia mahukan keamanan dan keharmonian dikekalkan di Baitulmuqaddis, namun ini dicabar Israel yang memindahkan ibu kotanya ke bandar itu.

“(Pertubuhan) Bangsa Bersatu telah adakan perhimpunan luar biasa yang mana usul (menolak Baitulmuqaddis sebagai ibu kota Israel) telah diterima 128 Negara… masyarakat dunia mahukan keamanan dan keharmonian beragama.

“Namun negara kecil ini (Israel) mencabar hak orang beragama Islam, beragama Kristian untuk berada di sana (Baitulmuqaddis),” katanya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia Krismas 2017 di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Bandar Hilir di sini, malam ini.

Turut hadir Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim; Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin dan lebih 8,000 pengunjung termasuk pelancong dari dalam serta luar negara. – Bernama