KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO Kedah menyifatkan kesediaan PKR untuk mengangkat Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri interim satu tindakan terdesak dan tidak bermaruah.
Ketua Pemudanya, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, langkah itu merupakan perkara yang mengaibkan sekaligus menguburkan sama sekali paksi idealisme politik PKR.
Selain itu kata beliau, ia merupakan satu tindakan yang cukup dangkal, cetek dan keroh dengan wayang politik lapuk.
“Pemuda Kedah mengucapkan setinggi takziah di atas kesediaan PKR menjilat kembali ludah politik yang pernah mereka hambur selama ini ke atas Tun M.
“Suka saya mengingatkan PKR dan Pakatan Harapan (PH), pengundi di Malaysia cukup cerdik dan matang untuk tidak meletakkan seorang pemimpin ‘draconian’ kembali dalam kancah politik negara.
“Cukup janggal, hari ini pemimpin ‘draconian’ kembali menjadi pujaan kepada pemimpin PKR,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Shaiful Hazizy menegaskan, kesediaan PKR termasuk tenaga Angkatan Muda Keadilan menjulang kembali Mahathir sebagai perdana menteri memberi bayangan bahawa jentera muda parti tersebut sudah menjadi bacul dan pengecut.
Ujarnya, idea reformasi sudah terperosok kembali di dalam ‘saku politik’ Mahathirisme apabila bekas perdana menteri itu menjadi pengarah wayang politik PH hingga menjadikan peranan AMK kelihatan lesu dan lemah.
Katanya lagi, tidak ada sebab untuk UMNO berasa gusar dengan keadaan tersebut kerana keputusan PKR itu merupakan satu rahmat politik besar kepada UMNO dan BN.
Tambahnya, naratif politik ‘mendewakan’ Mahathir tidak akan menarik minat pengundi.
“Pemuda Kedah menganggap keputusan PKR ini sebagai suatu penghinaan besar kepada semua penggerak utama gerakan reformasi PKR. Ketidaksetujuan mereka sudah mula digerakkan di dalam media sosial.
“Tindakan ini mengesahkan bahawa Pakatan adalah kerjasama politik lapuk dan melelahkan.
“Ketiadaan ruang untuk tenaga baru, progresif dan muda untuk ditonjolkan sebagai calon PM; adalah kelemahan PH yang paling ketara,” katanya.
Justeru, beliau menasihatkan pengundi agar menghukum kedangkalan pemikiran tersebut dengan mengundi parti yang lebih mampu memberi khidmat dan komited dengan perubahan. – MalaysiaGazette
Elok tu lantik DrM jadi PM.lepas tu DrM lantik mukhriz jadi PM,dan terus tindas Anwar dalam penjara,baru korang nak sedar.molek2 nak harap sapa PAN bela korang,DAP bela korang,dia orang dah dapat habuan mesti lupa diri la,Azmin pun dah lupa masa tu.tgk la nanti kalau ini terjadi