JOHOR BAHRU – Selepas dipercayai mencekik anak perempuannya yang berusia 10 tahun sehingga mati, seorang ibu bertindak menggantung diri di dalam sebuah bilik di rumahnya di Taman Indah Heights 2, Skudai di sini malam tadi.
Mayat wanita itu, J. Sumathi, 45, ditemui tergantung di sebuah bilik gimnasium di tingkat bawah kediaman mereka manakala anak perempuannya, K. Arthhinee ditemui mati dengan kesan cekik di leher.
Kejadian itu hanya disedari suami wanita terbabit yang baru pulang ke rumah dari tempat kerja kira-kira pada 7 malam, manakala dua lagi anak mereka tiada di rumah semasa kejadian kerana keluar membeli kelengkapan persekolahan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superintendan Beh Eng Lai berkata, siasatan awal mendapati, wanita itu merupakan pesakit kanser tahap empat sering mengadu sakit dan pernah memberitahu tidak mahu hidup lagi kepada keluarganya.
Menurutnya, siasatan awal juga mendapati, tiada CCTV di tempat kejadian selain tiada saksi semasa kejadian dan siasatan mendapati tiada unsur jenayah terhadap mayat mangsa.
“Mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Sultanah Aminah untuk dibedah siasat dan siasatan lanjut akan diteruskan,” katanya.
Eng Lai berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan juga diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). – MalaysiaGazette.