PULAU PINANG – Kerajaan DAP Pulau Pinang mendakwa hanya sebahagian kecil kawasan tangkapan nelayan yang akan terjejas daripada projek cadangan tambak laut di Permatang Damar Laut, Teluk Kumbar di sini.
Malah, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir negeri Chow Kon Yeow berkata, golongan nelayan akan mempunyai akses yang lebih baik untuk menangkap ikan di laut sebaik sahaja projek bagi membentuk tiga buah pulau buatan itu siap kelak.
Ujarnya, nelayan akan mempunyai laluan untuk ke laut tanpa sebarang sekatan antara pulau-pulau buatan yang dibentuk kelak selain kemudahan menangkap ikan yang lebih baik.
“Mereka boleh ke laut 24 jam sehari menerusi laluan khas itu serta tanpa mengambil kira sebarang keadaan arus laut,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai kenyataan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang memberi jaminan akan menggunakan segala kuasa yang ada pada kementeriannya bagi menolak cadangan Kerajaan DAP Pulau Pinang menambak seluas 1,800 hektar kawasan laut tersebut.
Menurut Wan Junaidi, rancangan itu bakal memberi kesan kemusnahan besar kepada kehidupan golongan nelayan khususnya di negeri ini serta menjejaskan ekosistem dan hidupan laut unik yang dimiliki perairan negeri ini.
Sementara itu, Kon Yeow berkata, pihaknya akan mengemukakan satu laporan bagi menjelaskan berhubung isu yang dibangkitkan Wan Junaidi berhubung projek tambakan laut tersebut dalam tempoh seminggu.
Ujarnya, Wan Junaidi boleh meneliti laporan yang dikemukakan kerajaan negeri kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi membantu memahami projek berkenaan dengan lebih baik.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan, pihaknya kini juga dalam proses menambah baik laporan impak alam sekitar (EIA) berhubung projek berkenaan seperti yang dimahukan Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN).
“Kita menjangkakan laporan ini dapat dibentangkan kepada MFPN pertengahan tahun depan,” katanya.- MalaysiaGazette
















