Anggota tentera mengangkat mayat di kubur yang ditemui untuk dikenal pasti identitinya. Foto AP

RAQQA – Dua kubur besar dipenuhi dengan puluhan mayat ditemui di wilayah Raqqa, Syria.

Agensi berita SANA melaporkan, kubur berkenaan dipercayai mengandungi mayat orang awam dan tentera yang dibunuh oleh militan IS di kampung Wawi berhampiran bandar utara Raqqa.

Militan berkenaan telah melakukan pembunuhan kejam ke atas orang awam termasuklah memenggal kepala, menembak dan menenggelamkan mangsa di sebuah kolam besar.

Raqqa telah bebas dari cengkaman kumpulan militan pada Oktober lepas dan lebih 30,000 penduduknya telah kembali meneruskan kehidupan di bandar yang musnah teruk itu.

Menurut laporan itu lagi, beberapa penduduk menerima maklumat berkenaan kubur besar berhampiran kampung itu selepas mereka kembali ke kediaman asal.

Memetik pegawai tempatan berkata, kerja mengeluarkan mayat giat dijalankan termasuk melakukan proses pengecaman identiti mangsa bagi diserahkan kepada keluarga.

Dilaporkan, kira-kira 1,800 orang awam terbunuh di Raqqa sepanjang tiga tahun penaklukan IS di wilayah itu. – Agensi