KUALA LUMPUR – Mahathir dahulu dan Mahathir sekarang tiada jauh bezanya, malah beliau masih mengekalkan kediktatorannya dalam perhimpunan agung tahunan parti yang diterajui beliau, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
Demikian kata Ahli Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi sambil menyifatkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai pemerintah kuku besi susulan perbahasan mesyuarat agung julung kali itu dibuat secara tertutup kepada media.
“Mahathir tidak berubah sejak zaman kita sekolah dulu, sejak beliau jadi perdana menteri sampai ke hari ini dan ketika menjadi pemimpin masyarakat.
“Mahathir menunjukkan aksi yang tidak berubah diktatornya beliau, cengkaman beliau terhadap organisasi yang beliau wakili itu masih jelas sehingga ke hari ini,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di pejabatnya di Yayasan Budi, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas perjalanan Perhimpunan Agung Tahunan PPBM pada Sabtu lalu yang tidak membenarkan petugas media membuat liputan pada sesi perbahasan parti serpihan UMNO itu.
Lebih malang apabila Mahathir gagal menjadi Islam dan Melayu sebagai asas perjuangan sebaliknya perhimpunan itu menjadi medan meluahkan dendam kesumat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Budiman juga menyifatkan permohonan maaf Mahathir hanya retorik semata-mata kerana beliau tidak merujuk kepada mana-mana kesalahan yang pernah dilakukannya ketika memerintah negara selama 22 tahun.
“Pada saya permohonan maaf itu hanya untuk menutup kias perbahasan sebab beliau tidak menjelaskan apa maaf itu.
“Beliau tidak menjelaskan apa dia kesalahan yang semua orang tahu, beliau tidak menjelaskan apa salah lakunya,” katanya.
Katanya, kedudukan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai presiden PPBM dalam perhimpunan itu pula tidak lebih daripada hanya sekadar ‘boneka hidup’ kepada Mahathir.
“Kita punya bekas timbalan perdana menteri dan bekas timbalan presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin seolah-olah jadi boneka di situ (perhimpunan),” ujarnya.
Budiman selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang berkata, tindakan membenarkan Mahathir menjadi perdana menteri sementara menunjukkan kepimpinan negara boleh dipermainkan oleh Pakatan Harapan.
“Tiba-tiba Pakatan Harapan membenarkan Tun Mahathir menjadi perdana menteri ‘Part-Time’ jika mereka menang, akhirnya menyerahkan kepada Anwar Ibrahim.
“Mereka meletakkan kepimpinan negara ini sebagai satu perkara yang mereka rasa untuk tujuan diskusi-diskusi politik,” katanya.
Tambahnya, masa depan negara tidak boleh diserahkan kepada bekas pemimpin negara yang berusia 93 tahun itu sedangkan rakyat sedang menuju kepada Transformasi Nasional 2050 (TN50).
“Takkan idea-idea TN50 kita nak berikan kepada mereka yang sudah tiada dalam arus politik sedia ada dan hanya kerana dendam kesumat politik.
“Saya harap rakyat di luar saya dapat menilai dengan sejelasnya dalam soal Tun Mahathir,” katanya. – MalaysiaGazette.