KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO membuat laporan polis terhadap Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang sering mengeluarkan kenyataan menyerang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Laporan itu dibuat oleh Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Razlan Muhammad Rafii di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Naib Ketua Pemuda UMNO, Senator Khairul Azwan Harun yang turut hadir berkata, Mahathir dilihat cuba mempengaruhi rakyat Malaysia dengan hasutannya untuk menggulingkan Perdana Menteri menerusi proses tidak demokratik.

Sehubungan itu menurutnya, polis perlu bertindak segera berdasarkan laporan dan bukti yang dikemukakan hari ini.

“Kita meminta pihak polis segera menyiasat tindakan dan usaha Dr Mahathir yang ingin menggulingkan Perdana Menteri.

“Tindakan ini berbahaya dan boleh mengganggu-gugat keamanan serta kestabilan politik negara, maka itu sebabnya kami tampil membuat laporan polis,” katanya.

Tambahnya, tindakan Tun M sejak kebelakangan ini bertitik tolak dengan hasratnya untuk memastikan anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir menjadi Perdana Menteri.

“Kita nak rakyat tahu, Mahathir nak gulingkan Perdana Menteri kerana dia nak jadikan anaknya sebagai Perdana Menteri Malaysia,” ujarnya. -MalaysiaGazette