SHAH ALAM – Tengku Aris Temenggong Selangor, Tengku Datuk Setia Muhammad Yusof Shah Alhaj, nenda saudara kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah mangkat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, pagi tadi pada usia 91 tahun.
Menurut sumber dari Istana Selangor, jenazah Almarhum akan dimandi dan dikapankan di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah, Klang, kira-kira pukul empat petang ini.
Jenazah Almarhum akan dimakamkan di Makam Diraja, Klang pada kira-kira pukul 5.45 petang.
Almarhum yang diputerakan pada 28 April 1926, merupakan Ahli Dewan Diraja Selangor yang juga Anak Raja Bergelar serta kerabat diraja Selangor tertua.
Almarhum merupakan seorang daripada 25 putera Sultan Selangor kelima, Almarhum Sultan Sir Ala’eddin Sulaiman Shah Alhaj.- BERNAMA