Najib Razak

KUALA LUMPUR – Sebuah firma audit luar dilantik oleh Jabatan Perdana Menteri bagi melaksanakan audit forensik ke atas projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) yang sedang dibangunkan oleh Synergy Promenade Sdn. Bhd. (SPSB) di atas tanah milik Felda.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, firma audit ini akan menjalankan audit forensik ke atas semua aktiviti, keputusan dan tindakan berkaitan projek tersebut dan laporan siasatan dijangka siap dalam tempoh 30 hari.

Laporan penuh akan dikemukakan kepada JPM dan tindakan undang-undang akan diambil jika siasatan firma audit luar dan polis menunjukkan adanya salah laku.

Tambah beliau, siasatan tersebut akan menilai semula proses pengawalan berkaitan termasuk kelemahan pentadbiran dalaman serta pengawasan Felda ke atas Felda Investment Corporation Sdn. Bhd. (FIC).

Menurut Najib yang juga menteri bertanggung jawab ke atas Felda, siasatan firma tersebut turut melibatkan Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

“Pelantikan firma audit ini adalah susulan arahan saya kepada FELDA dalam satu surat bertarikh 11 Disember 2017 untuk menentukan sama ada berlakunya ketidakpatuhan kepada tatacara sedia ada atau berlakunya unsur-unsur salah guna kuasa dan perlakuan rasuah berkaitan projek KLVC.

“Dalam surat tersebut yang dihantar oleh JPM kepada Pengerusi FELDA, Tan Sri Shahrir Abdul Samad,  saya juga telah mengarahkan FELDA untuk membuat laporan polis terhadap SPSB untuk “criminal fraud” serta mengambil tindakan undang-undang untuk “civil fraud” bagi pemindahan hak milik tanah FELDA tanpa pengetahuan dan kebenaran.

“Saya telah mengarahkan tindakan-tindakan ini diambil bagi melindungi kepentingan FELDA dan peneroka, tidak dikompromi dan bagi memastikan tanah-tanah tersebut terus kekal menjadi milik FELDA,” tegasnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Najib, pihak polis telah menjalankan siasatan dan tanah-tanah terlibat telah turut dikaveat yang sekali gus menafikan dakwaan sebaliknya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

Comments are closed.