KUALA LUMPUR – Pas mendakwa parti itu tidak mengkafirkan individu atau ahli-ahli UMNO sebagaimana dakwaan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Sebaliknya, menurut Ahli Parlimen Pas Kuala Nerus, Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali, parti itu hanya menjelaskan perkara yang boleh membatalkan syahadah dan menjadi kufur agar umat berhati-hati.
Kata beliau, ungkapan menghina hukum jenayah Islam seperti, “kalau laksanakan hukum potong tangan habislah kudung tangan orang Islam” dan “kalau laksanakan hukuman rejam habislah batu di jalanan” adalah ucapan yang boleh menjadikan seorang muslim jatuh kufur.
“Adapun menghukumkan seseorang muslim secara individu sebagai kafir ia bukannya tugas pendakwah, tetapi hakim di mahkamah setelah ditegakkan hujah.
“Seorang yang melafazkan kata kufur tidak semestinya terus menjadi kafir, melainkan apabila cukup segala syarat yang mengesahkan dirinya terkeluar daripada Islam.
“Alhamdulillah setelah dakwah yang panjang mengambil masa puluhan tahun, hari ini masyarakat Islam semakin memahami kewajipan menegakkan syariat Allah dalam perundangan jenayah,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini hari ini.
Jelas Mohd Khairuddin, kata-kata penghinaan seumpama itu sudah tidak kedengaran lagi, melainkan daripada segelintir yang masih bebal mengenai hukum Islam.
Menurutnya, Mahathir dalam menyerang Pas, sengaja membangkitkan isu kafir mengkafir bagi menanam kebencian dan menjauhkan masyarakat Islam daripada parti itu.
“Itu adalah strategi Mahathir ketika beliau masih menjadi Perdana Menteri sebelum ini. Namun, masyarakat Islam boleh menilai pendekatan semasa Pas yang harmoni menjelaskan dakwah Islam sesuai dengan suasana masyarakat yang semakin dekat dengan Islam disebabkan ledakan kuliah ilmu di surau, masjid, pejabat kerajaan dan di internet,” ujarnya.
Kata beliau, Pas sudah jauh menapak ke depan dengan Budaya Politik Matang dan Sejahtera yang diperkenalkan sejak akhir tahun 2015 bagi menyantuni masyarakat Melayu muslim pelbagai peringkat sesuai dengan realiti semasa kefahaman masyarakat Islam mengenai agama.
Mahathir pula, katanya, mahu undur ke belakang melihat senario dakwah hampir 40 tahun lalu.
“Sewajarnya juga rakyat menilai kembali gaya pemerintahan Mahathir dan sikapnya terhadap dakwah Islam sepanjang dekad pemerintahannya.
“Usah diharap untuk seorang yang mempunyai rekod kurang baik terhadap agenda Islam seperti menghapuskan geran perkapita sekolah agama rakyat untuk kembali ke tampuk pemerintahan.
“Saya harap jangan ada ilmuwan Islam termasuk mufti menari mengikut tarian Mahathir menyerang Pas dalam agenda yang sama,” katanya.
Beliau turut menyatakan, Amanat Hadi dijadikan sasaran kononnya penyebab kepada perpecahan.
“Hakikatnya pemecah belah adalah golongan yang lari dari landasan Islam sebenar, bukannya pendakwah yang menyeru manusia kembali kepada Islam.
Beliau menegaskan, Amanat Hadi adalah menjelaskan dasar dan prinsip amar makruf nahi mungkar serta menjelaskan perkara yang boleh membatalkan Syahadah, bukan mengkafirkan orang UMNO. – MalaysiaGazette