Tentera Pakistan. foto AP

ISLAMABAD – Pakistan mengecam keputusan pentadbiran Donald Trump yang menggantung bantuan ketenteraan sambil menyifatkan keputusan itu dilakukan sewenang-wenangnya dan menjejaskan satu pihak sahaja.

“Bekerja ke arah keamanan yang berterusan memerlukan saling menghormati dan kepercayaan bersama kesabaran dan ketekunan.

“(Meletakkan) tarikh akhir sewenang-wenang, pengumuman unilateral dan mengalihkan kedudukan adalah bertentangan dalam menangani ancaman,” kata Kementerian Luar Pakistan dalam satu kenyataan.

Dalam wawancara pada Khamis dengan saluran Geo News, Menteri Luar Khawaja Muhammad Asif berkata, Amerika Syarikat kini bukan kawan atau sekutu, tetapi “kawan yang selalu mengkhianati.”

Sementara itu, pembangkang Pakistan meminta tindakan konkrit diambil untuk bertindak balas.

Pemimpin pembangkang, Imran Khan berkata, Pakistan harus menjauhkan negara itu daripada Amerika Syarikat selepas penghinaannya oleh Donald Trump

Malah, beliau menyeru Pakistan mengusir beberapa anggota diplomatik dan memotong laluan yang digunakan pasukan gabungan yang diketuai oleh Amerika Syarikat dari bandar pelabuhan Karachi hingga ke darat Afghanistan serta menutup ruang udaranya.

Pentadbiran Trump telah mengumumkan akan menggantung bantuan sebanyak AS$255 juta selepas menuduh Pakistan menipu negara itu bertahun-tahun.

Amerika Syarikat mendakwa tindakan itu dibuat supaya Pakistan mengambil tindakan tegas menghapuskan kawasan-kawasan yang dijadikan tempat perlindungan pengganas.

Amerika Syarikat telah memberi Pakistan lebih daripada AS$20 bilion dalam penggantian dan bantuan ketenteraan sejak tahun 2002.

Namun bantuan itu telah berkurangan sejak bertahun-tahun, sehingga para pegawai Pakistan mendakwa penggantungannya akan memberi impak minimum.

Seorang pegawai kanan pentadbiran mengatakan jumlah bantuan tentera yang digantung adalah kira-kira AS$ 2 bilion, termasuk AS$900 juta dalam Dana Sokongan Bersama sebagai balasan kepada Pakistan memerangi militan. – MalaysiaGazette