MH17
Tinjauan di lokasi kejadian tragedi MH17 di Grovova, Ukraine pada 23 Julai 2014. Foto: Arkib MalaysiaGazette

KIEV – Timbalan Ketua Pendakwaraya Ukraine, Yevhen Yenin berkata pihaknya dan penyiasat Belanda belum bersedia untuk mendedahkan nama suspek yang terlibat menembak jatuh pesawat Boeing, B777 milik Malaysian Airlines di timur negara itu pada 2014, menurut rangkaian televisyen, 112 Ukraine.

Pihak berkuasa Rusia sepatutnya memberi sumbangan lebih baik dengan mendedahkan senarai suspek, kata Yenin kepada 112 Ukraine ketika mengulas laporan media Rusia yang mendakwa penyiasat Belanda merancang mendedahkan nama suspek MH17 kepada umum seawal 2 Januari lalu.

“Kedua-dua penyiasat Ukraine dan Belanda belum bersedia mendedahkan sebarang nama kepada umum,” kata Yenin.

Pesawat MH17 yang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ditembak jatuh pada 17 Julai 2014 di wilayah yang dikuasai puak pemisah Rusia di Donetsk.

Kesemua 298 orang yang berada dalam pesawat, termasuk anak kapal, terbunuh dalam insiden tersebut.

Yenin berkata, laporan media mendakwa 120 suspek terlibat dalam kes itu adalah berita palsu yang disebarkan Rusia.

“Hanya propaganda Rusia yang menyatakan 120 orang terlibat dalam kemalangan ini. Hakikatnya, kita bercakap mengenai lebih sedozen atau dua dozen orang,” kata Timbalan Ketua Pendakwaraya itu.

Beliau menambah, penyebaran maklumat yang tidak tepat itu bertujuan mengelirukan orang ramai dan mewujudkan kehangatan topik penyiasatan MH17 dalam usaha mengimbangi tahap dakwaan terhadap dalang sebenar.

Selain itu, menurut Yenin, sebaik sahaja penyiasat Belanda menyelesaikan siasatan awal, mereka akan meminta Ukraine menyerahkan bahan-bahan berkaitan yang terletak di bawah bidang kuasa Belanda.

Beliau menambah, jika warga Ukraine merupakan antara suspek, mereka tidak akan diekstradisi ke Belanda berdasarkan perundangan Ukraine yang melarang berbuat demikian.

Suspek, jika ada, akan dibicarakan di mahkamah Belanda menerusi persidangan video. Mahkamah Belanda akan menjatuhkan hukuman dan diberi pilihan menjalankan hukuman sama ada di penjara Ukraine ataupun Belanda.

Pada masa sama, menurut Yenin, jika terdapat warga Rusia dalam kalangan suspek yang ditahan di wilayah Ukraine, mereka boleh diekstradisi ke Belanda. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast