BEIJING – Selepas Djibouti, China merancang membina sebuah pengkalan tentera laut asing keduanya di Pakistan, menurut laporan South China Morning Post.

Pengkalan itu berkemungkinan dibina berhampiran Gwadar, menurut penganalisis tentera yang berpengkalan di Beijing, Zhou Chenming.

“China perlu bina sebuah pengkalan lagi di Gwadar untuk kapal perangnya kerana kini Gwadar adalah pelabuhan awam.

“Menjadi amalan biasa untuk mempunyai kemudahan yang berasingan untuk kapal perang dan kapal dagang kerana operasi mereka berlainan.

“Kapal dagang memerlukan pelabuhan yang lebih besar dengan ruang yang luas untuk gudang dan kontena tetapi kapal perang perlu perkhidmatan penyelenggaraan dan sokongan logistik,” lapor South China Morning Post memetik Chenming berkata.

Sumber lain yang rapat dengan Tentera Pembebasan Rakyat (People’s Liberation Army) turut mengesahkan perkembangan tersebut.

“Pelabuhan Gwadar tidak menyediakan perkhidmatan spesifik untuk kapal perang. Ia bukannya lokasi yang baik untuk melaksanakan sokongan logistik ketenteraan,” kata sumber itu kepada South China Morning Post.

Laporan akhbar tersebut diterbitkan selepas satu laporan yang dikeluarkan laman sesawang The Daily Caller yang berpengkalan di Washington menyatakan perkara yang sama beberapa hari lalu.

Kolonel (B) Tentera Simpanan Amerika Syarikat, Lawrence Sellin sebelum ini menyatakan persetujuan telah dicapai pada satu mesyuarat antara pegawai tenetra China dan Pakistan bahawa pengkalan tentera akan dibina di semenanjung Jiwani, berhampiran Gwadar dan sempadan Iran. – Agensi.