Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Tan Sri Dzulkifli Ahmad menerima dokumen perjanjian dari Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kampung Baru, Tan Swee Keng sambil disaksikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (tengah) pada Majlis Ikrar Bebas Rasuah di Wisma MCA, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 06 JANUARI 2018.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerima senarai calon-calon parti politik yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad yang mengesahkan perkara itu berkata, penerimaan senarai itu merupakan saringan yang dibuat sebagai kebiasaan sebelum menjelang PRU.

Menurutnya, beliau yakin beberapa senarai calon daripada parti-parti politik akan diserahkan dalam masa terdekat.

“Mungkin mereka belum serah senarai kepada SPRM kerana calon parti politik berkenaan masih dalam penelitian pucuk pimpinan.

“Parti politik mana yang serah tidak perlu dimaklumkan… biarlah rahsia,” katanya.

Tan Sri Dzulkifli Ahmad

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis lafaz Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Baru Cina, di Wisma MCA, di sini hari ini.

Hadir sama menyaksikan ikrar tersebut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Sementara itu, Dzulkifli menjelaskan, maklumat tambahan yang diserahkan Parti Cinta Malaysia (PCM) mengenai isu terowong bawah laut Pulau Pinang kini dalam penelitian lanjut pihaknya.

Katanya, maklumat berkenaan lebih berkisar kepada proses pembayaran penukaran hak milik tanah di negeri tersebut susulan pelaksanaan projek mega terbabit.

“PCM bukan buat laporan kepada SPRM berhubung isu terowong bawah laut Pulau Pinang, tetapi mereka berikan maklumat tambahan mengenai perincian pembayaran tukar milik tanah susulan projek terbabit.

“Kalau ada asas, kita akan buka kertas siasatan bagi membolehkan SPRM mengambil tindakan selanjutnya,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Comments are closed.