Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Tan Sri Dzulkifli Ahmad bergambar kenangan bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Ketua-ketua Kampung Baru pada Majlis Ikrar Bebas Rasuah di Wisma MCA, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 06 JANUARI 2018.

KUALA LUMPUR – Ikrar Bebas Rasuah (IBR) yang ditandatangani lebih 770 pegawai Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Baru dari seluruh negara hari ini, bukan satu lakonan.

Perkara itu ditegaskan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong yang memberitahu, ia merupakan satu komitmen dan janji bahawa pentadbiran JKKK menolak sebarang unsur rasuah.

Katanya, usaha itu selaras dengan peranan jawatankuasa berkenaan sebagai barisan pertama kerajaan yang berurusan dengan rakyat.

“Program ini (tanda tangan IBR) bukan lakonan semata-mata, tetapi komitmen dan janji kami bahawa jentera pentadbiran JKKK Kampung Baru akan menolak rasuah,” katanya pada sidang media berucap pada majlis berkenaan di Wisma MCA di sini, hari ini.

Seramai 770 pegawai JKKK Kampung Baru dari seluruh negara hari ini menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR).

Datuk Seri Dr Wee Ka Siong

Majlis tersebut disaksikan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad, Pengerusi Biro Hal Ehwal Kampung Baru dan Kerajaan Tempatan MCA, Datuk Hoh Khai Mun serta Pengarah Bahagian Kampung Baru Jabatan Perdana Menteri, Wee Li King.

Mengulas lanjut Ka Siong berkata, ikrar itu penting dalam mewujudkan imej bersih JKKK yang diamanahkan untuk menyelia pengurusan 633 Kampung Baru di seluruh Semenanjung.

Dalam pada itu, Dzulkifli ketika berucap berkata, sebanyak 861 agensi merangkumi kementerian, universiti, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan sudah menandatangani IBR.

“Kesedaran masyarakat menolak rasuah akan terus menjadi revolusi, sekali gus menyaksikan Malaysia bebas daripada rasuah menjelang 2020.

“Bagaimanapun, ia bertitik tolak daripada semua dengan menjadikan prinsip 3J iaitu ‘Jangan Hulur, Jangan Kawtim dan Jangan Settle’ sentiasa tersemat di hati masing-masing,” ujaranya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast