KUALA LUMPUR – Audit ke atas projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) yang dibangunkan Synergy Promenade Sdn Bhd (SPSB) atas tanah milik Felda, akan bermula esok.
Menurut laporan Berita Harian, Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Samad berjanji untuk memberikan kerjasama sepenuhnya dalam proses audit berkenaan.
Tambahnya, pihak yang terlibat dengan salah laku tidak akan terlepas.
“Saya harap siasatan polis terus berjalan dan audit juga akan bermula selepas diumumkan Khamis lalu. Ada dua siasatan satu jenayah dan proses urus tadbir yang dijalankan firma audit luar.
“Dapatan (hasil audit) jika ada tindakan disiplin atau salah laku yang lain, kalau terjumpa aspek yang boleh dikenal pasti sebagai salah laku, kita tidak akan berkompromi dengan soal tanah milik Felda. Kita berpendapat pindah milik itu sebagai salah laku dan kita nak (mahukan) tanah itu balik,” katanya.
Beliau bercakap pada sidang media selepas melawat Desa Datuk Hajah Hasnah Ahmad, Johor Bharu, hari ini.
Tambah Shahrir, audit seumpama itu pernah dilaksanakan ketika isu penggantungan sementara Pengurus Besar Felda pada Disember 2014.
Khamis lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dilaporkan berkata Jabatan Perdana Menteri (JPM) sudah melantik sebuah firma audit luar untuk melaksanakan audit forensik ke atas projek (KLVC) yang dibangunkan SPSB atas tanah milik FELDA.
Firma audit itu akan menjalankan audit forensik terhadap semua aktiviti, keputusan dan tindakan berkaitan dengan projek ini serta menilai semula proses pengawalan yang berkaitan, termasuk kelemahan dalam pentadbiran dalaman serta pengawasan Felda ke atas Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC).-MalaysiaGazette