PULAU PINANG – Bekas ahli seumur hidup DAP, Dr. Shamsher Singh Thind menempelak pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang disifatkan sanggup menjilat ‘air liur’ sendiri selepas menamakan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri sementara.
Menurut bekas ahli DAP Kawasan Taman Chai Leng itu, perbuatan tersebut dilakukan semata-mata kerana mahu memastikan kelangsungan kerjaya politik dan kuasa dalam kalangan pemimpin PH.
Katanya, pelantikan Mahathir itu sekali gus melenyapkan segala penentangan pembangkang selama ini terhadap kontroversi pentadbiran selama 22 tahun bekas perdana menteri itu.
“Isu mata wang asing forex, projek kad pengenalan, serangan terhadap sistem kehakiman dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kini semuanya sudah dilupakan pembangkang.
“Malah, isu berkenaan Perbadanan Fidlot Nasional (NFC) pun sudah dilupakan selepas bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kini bersama pembangkang,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Sementara itu, Shamsher juga melahirkan keyakinan PH juga akan melupakan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sekiranya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berjaya dijatuhkan.
Malah, beliau secara sinis yakin PH akan memuji Najib kerana memperkenalkan 1MDB sekiranya Najib memilih menyertai pembangkang suatu hari nanti.
Dalam masa sama, Shamsher turut menempelak pemimpin DAP yang bersorak ketika Mahathir mencadangkan supaya jawatan Perdana Menteri dihadkan hanya kepada dua penggal.
Menurutnya, DAP seolah-olah terlupa individu yang mencadangkan perkara tersebut pernah memegang jawatan berkenaan selama 22 tahun.- MalaysiaGazette