JOHOR BAHRU – Polis Johor berjaya merampas pelbagai jenis dadah yang dianggarkan bernilai RM162,233 dalam dua serbuan berasingan dan menahan seorang lelaki berusia 26 tahun di sini semalam.
Dadah yang dirampas dalam dua serbuan dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik itu adalah 10,300 biji pil Eramin 5, syabu (62.34 gram) ketamin (87.38 gram) dan 50 biji pil Estacy.
Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Khalil Kader Mohd. berkata, pada 9.35 malam semalam, pihaknya menahan suspek lelaki itu di hadapan sebuah pasar raya di kawasan Skudai.
Hasil pemeriksaan ke atas lelaki itu, katanya, polis berjaya merampas dadah pelbagai jenis sebanyak 200 biji pil Erimin 5, Syabu (62.34 gram), ketamin (9.80 gram) dan 39 biji pil Estacy.
“Tindakan susulan pihak polis seterusnya menjalankan pemeriksaan di sebuah pangsapuri yang merupakan tempat kediaman suspek di Taman Sutera Utama dan menemui pelbagai jenis dadah sebanyak 10,100 biji pil Erimin 5, ketamin
(77.58 gram) dan 11 biji pil Estacy,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, suspek itu kini ditahan reman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut.
Beliau berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabit kesalahan boleh dihukum mati mandatori.
“Polis Johor memberi amaran keras supaya tiada sesiapa pun terlibat dalam penggunaan atau pengedaran dadah.
“Pada masa sama, Polis Johor menghargai dan ucapkan ribuan terima kasih bagi semua pihak yang membantu pihaknya dalam usaha membanteras jenayah dadah,” katanya. – MalaysiaGazette.