Azman melakukan tinjauan pada hari pertama peperiksaan bertulis SPM di SMK Tinggi Batu Pahat, hari ini.

BATU PAHAT – Kementerian Pendidikan (KPM) menyediakan 133 pusat peperiksaan alternatif untuk calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sekiranya berlaku banjir di Kelantan, Terengganu, Kedah, Pahang, Johor dan Sabah.

Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan berkata, langkah tersebut merupakan antara mekanisme dan pelan integrasi bagi memastikan kesemua calon SPM di negeri berisiko banjir dapat menduduki peperiksaan berkenaan.

Jelas beliau, sekiranya berlaku banjir, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) akan mengaktifkan Ops Payung bagi membantu calon dan juga petugas peperiksaan yang terkesan.

“KPM akan pastikan calon-calon SPM ditempatkan di sekolah yang mempunyai asrama sebagai mekanisme sekiranya banjir berlaku sebagaimana yang dibuat semasa ujian lisan tempoh hari.

“Sekiranya sekolah yang terlibat sebagai pusat peperiksaan di landa banjir. Maka kita akan alihkan calon SPM di pusat alternatif iaitu di sekolah yang tidak dilanda banjir,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Batu Pahat, di sini, hari ini.

Terdahulu Azman melakukan tinjauan pada hari pertama peperiksaan bertulis SPM di sekolah itu.

Turut serta Pengarah JPN Johor, Hanafi Samad dan Pengetua SMK Tinggi Batu Pahat, Ramlan Pit.

Azman memaklumkan, KPM juga menyediakan khidmat bantuan psikososial bagi calon SPM yang mengalami tekanan akibat banjir.

“KPM bersedia sepenuhnya dengan petugas yang akan memberikan perkhidmatan berkaitan dengan sokongan psikososial kepada calon-calon SPM di seluruh negara.

“Ini kerana KPM mempunyai pasukan yang melibatkan guru bimbingan dan kaunseling di sekolah-sekolah, di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan juga di JPN,” katanya.

Seramai 402,956 calon mendaftar untuk menduduki SPM 2024 di 3,337 pusat peperiksaan seluruh negara bermula 2 Disember lalu.

SPM 2024 bermula dengan Ujian Bertutur Bahasa Melayu pada 2, 3, 4 dan 5 Disember, Ujian Amali Sains (9,10 dan 12 Disember); Ujian Bertutur Bahasa Inggeris (16,17,18, dan 19 Disember); Ujian Mendengar Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris (31 Disember) serta Peperiksaan Bertulis (2 Januari hingga 6 Februari 2025).

Semalam, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) meramalkan kemungkinan berlaku banjir di sembilan jajahan di Kelantan dalam tempoh tiga hari bermula Sabtu ini.

JPS menerusi kenyataan memaklumkan jajahan terlibat ialah Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Pasir Puteh, Bachok, Tanah Merah, Machang, Kuala Krai dan Jeli.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast