KUALA LUMPUR – Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) menjelaskan kekaburan yang timbul berkaitan isu tahanan rumah bersyarat yang diperkenan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Ketua Penerangannya, Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, hingga kini tiada satu pun peruntukan khusus atau akta nyata di dalam sistem perundangan negara yang memperuntukkan hukuman berbentuk tahanan rumah untuk mana-mana pesalah.
Beliau yang juga peguam berkata, apa yang wujud hanyalah Seksyen 3 Akta Penjara 1995 berkaitan kuasa Menteri Dalam Negeri untuk mengisytihar mana-mana kawasan atau premis sebagai `penjara’, tetapi ia tidak pernah direka untuk memberi layanan istimewa secara terpilih.
“Jika tahanan rumah dilaksanakan tanpa garis panduan yang telus, ia akan mewujudkan persepsi dwistandard yang parah, undang-undang tegas untuk rakyat marhaen, tetapi undang-undang yang lunak dan selesa untuk golongan kayangan.
“Pada waktu ini wujud kekaburan tentang isu tahanan rumah bersyarat, Menteri Dalam Negeri hendaklah melaksanakan tindakan sewajarnya agar tidak timbul persoalan-persoalan lain kelak,” ujar beliau dalam hantaran menerusi laman sosial Facebook hari ini.
Muhammad Rafique mengulas keputusan Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-64 semalam yang memperkenan Najib menjalani baki hukuman penjara secara tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta.
Menurut beliau, rakyat perlu faham bahawa isu `tahanan rumah’ adalah perkara berbeza daripada pengampunan mutlak.
Jelas beliau, kuasa Menteri atau Komisioner Jeneral Penjara memberi lesen pelepasan di bawah Seksyen 43 Akta Penjara kepada mana-mana banduan mestilah juga adil dan dilaksana dengan konsep keadilan.
Beliau turut membangkitkan isu berhubung syarat-syarat khusus dan proses tapisan dan mekanismenya dilakukan.
“Peguam Negara selaku penasihat undang-undang tertinggi kerajaan, bersama Menteri Dalam Negeri selaku peneraju keselamatan, wajib tampil menjelaskan perkara ini secara telus.
“Jabatan Penjara Malaysia berada di bawah kelolaan dan menurut arahan dari Kementerian Dalam Negeri,” ujarnya.
Menurut beliau, institusi Raja-Raja Melayu memegang kuasa prerogatif yang mutlak di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan mengenai Lembaga Pengampunan.
Ujarnya, kuasa tersebut adalah non-justiciable iaitu tidak boleh dicabar, dipertikai atau diheret ke mana-mana mahkamah.
Namun menurutnya, kerajaan tidak boleh sesekali menghalang rasa musykil serta hak bersuara rakyat kerana di bawah prinsip demokrasi, rakyat berhak mendapat penjelasan apabila melihat wujudnya kelonggaran yang meragukan.
“Rakyat tidak mahu melihat tahanan rumah bersyarat ini dikenakan atau diguna pakai semata-mata demi memuaskan hati kelompok elit politik tertentu.
“Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menjamin hak sama rata iaitu semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan dan layanan undang-undang yang sama rata.
Menurut beliau, tugas kehakiman telah selesai sebaik sahaja mahkamah sama ada pada tahap perbicaraan mahupun rayuan melupuskan mana-mana kes dan sistem itu juga harus dihormati. – MalaysiaGazette
















