Presiden PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad berbincang sesuatu dengan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar ketika menunggu kebenaran melawat Datuk Seri Anwar Ibrahim di Hospital Rehabilitasi Ceras, Selangor. foto IQBAL BASRI, 10 JANUARI 2018

KUALA LUMPUR – Hasrat Tun Dr Mahathir Mohamad untuk bertemu empat mata dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Hospital Rehabilitasi Cheras di sini tidak kesampaian apabila beliau dihalang pihak Jabatan Penjara.

Pengerusi Pakatan Harapan itu yang tiba kira-kira pukul 4.15 petang di hospital berkenaan bagaimanapun terpaksa pulang dengan hampa dan beredar setengah jam kemudian.

Ketika ditemui media di luar lobi wad, Dr Mahathir berkata, beliau hanya diberitahu mengenai perkara itu sejurus selepas mengadakan perbincangan ringkas dengan pengarah hospital berkenaan semasa ketibaannya.

Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata, pihak yang menghalangnya tidak memberikan penjelasan kenapa beliau tidak dibenar untuk berjumpa dengan Anwar.

“Saya cuma nak beritahu saya tak dapat jumpa. Kerana arahan sudah diberi tidak boleh berjumpa dengan Datuk Seri Anwar.

“Saya rasa sedih kerana saya nak jumpa dengan dia (Anwar) nak ucap terima kasih kerana dia tidak membantah dan menyokong saya sebagai calon (perdana menteri).

“Negara kita ini negara demokratik tetapi perkara yang semacam ini tak pernah berlaku di zaman saya di mana saya seorang diktator, tak pernah pun saya larang siapa pun nak berjumpa dengan siapa.

“Nak jumpa dengan orang sakit pun tak boleh. Inilah keadaan dalam negara kita,” katanya.

Dr Mahathir mendakwa, apa yang berlaku terhadap dirinya itu jelas menunjukkan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak adalah seorang diktator.

Pengerusi Pakatan Harapan itu membuat tuduhan terhadap Najib kerana merasakan arahan untuk menghalangnya daripada bertemu dengan Anwar datang darinya.

“Apa yang nak dikata, katalah tapi saya tak pernah buat perkara yang semacam ini,” ujarnya.

Sebelum ini, pada 22 September lepas, kenderaan yang membawa Anwar dilanggar kenderaan pengiring dari belakang.

Kemalangan berlaku ketika kenderaan pengiring tersebut dikatakan gagal berhenti lalu melanggar kenderaan yang membawa Anwar yang telah berhenti untuk mengelak perlanggaran dengan kenderaan dari arah bertentangan.

Anwar ketika itu sedang dibawa semula ke Penjara Sungai Buloh setelah berada di HKL selama empat malam untuk rawatan tekanan darah yang tidak stabil serta kesakitan berkait kecederaan di bahu beliau.

Anwar kini dimasukkan ke wad di hospital Rehabilitasi Cheras bagi mendapatkan rawatan lanjut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast