LIM GUAN ENG

KUALA LUMPUR – Kes perbicaraan melibatkan kontroversi banglo milik Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan ahli perniagaan, Phang Li Koon akan berjalan selama 23 hari dan melibatkan seramai 40 saksi dipanggil untuk memberi keterangan.

Guan Eng dan Li Koon sedaya upaya cuba mengelak daripada dibicarakan

Keputusan itu diumumkan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Hadhariah Syed Ismail yang menetapkan perbicaraan bermula 26 hingga 30 Mac, 9 hingga 12 April, 23 hingga 27 April, 7 hingga 10 Mei dan 21 hingga 25 Mei.

Bagi pindaan pertuduhan terhadap Guan Eng dan Li Koon, Timbalan Pendakwa Raya, Masri Mohd Daud memaklumkan ia akan diserahkan pada tarikh lain kerana kedua-dua tertuduh tidak hadir.

Pada 30 Jun 2016, Guan Eng mengaku tidak bersalah terhadap 2 pertuduhan rasuah membabitkan penukaran status tanah pertanian kepada zon perumahan dan pembelian lot tanah serta sebuah banglo di Jalan Pinhorn pada Julai 2015 daripada Li Koon pada harga RM2.8 juta, jauh lebih rendah daripada nilai pasaran RM4.27 juta.

Sebelum perbicaraan bermula, pihak pendakwaan meminta kedua-dua tertuduh memfailkan pernyataan pembelaan mereka, tetapi mereka mencabar kesahihan Seksyen 62 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Pada Mac 2017, Hadhariah menolak permohonan mereka berdua untuk mengisytiharkan Seksyen 62 Akta SPRM tidak berperlembagaan, tetapi Mahkamah Rayuan mengubah keputusan itu Ogos lalu.

Mahkamah Persekutuan baru-baru ini membenarkan rayuan SPRM dan memerintahkan mereka berdua menyerahkan pernyataan pembelaannya kepada pihak pendakwaan sebelum perbicaraan rasuahnya bermula.

Guan Eng diwakili Gobind Singh Deo dan RSN Rayer, manakala Li Koon diwakili V Sithambaram serta Rueban Kumar. – MalaysiaGazette