Pengerusi Pakatan HARAPAN, Tun Dr. Mahathir Mohamad berucap pada Konvensyen Pakatan Harapan di IDCC Shah Alam, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 07 JANUARI 2018.

KUALA LUMPUR – Tun Mahathir Mohamad mendakwa kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang bakal diterajuinya kelak tidak akan mengamalkan konsep membalas dendam kepada pemimpin sekarang.

Dalam siaran langsung Facebook berjudul Policy Talk: Kos Sara Hidup, Jalan Penyelesaian? Pengerusi PH itu berkata, pemimpin yang ada didakwa akan dihukum mengikut lunas undang-undang.

“Kita akan hormati dan ikut pemerintahan mengikut undang-undang, bukan niat kita nak balas dendam terhadap mereka, kami akan berpegang kepada the rule of law,” ujarnya menjawab soalan netizen dalam media sosialnya.

Tugas kerajaan untuk menghukum individu yang didapati bersalah kerana itu adalah kuasa mahkamah, kata Mahathir.

“Mereka yang salah akan dihadapkan ke mahkamah dan bukan Perdana Menteri, kerajaan tetapi mahkamah yang akan tentukan dan hukuman keatas mereka jika didapati bersalah, itu cara kami. Bukan cara balas dendam, tidak,” katanya lagi.

Mahathir berkata, PH akan berpegang kepada prinsip sedia ada dengan menghormati kedualatan undang-undang negara ini.

“Bukan cara kami untuk menekan orang tertentu seperti yang berlaku sekarang. Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan mengenakan cukai tambahan tanpa asas kepada rakyat,” kata bekas Perdana Menteri itu.

Malah beliau turut dilihat mengitar semula pendiriannya sebelum ini bagi menarik perhatian rakyat berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Jika kami menggantikan kerajaan BN, langkah pertama adalah mendapatkan kembali wang 1MDB sekarang berada di Amerika Syarikat dan bank di Singapura.

“Kami juga ada cara untuk mengurangkan hutang dan membetulkan projek yang membazir, kami berpengalaman menangani kenaikan kos sara hidup dahulu.

“Pengalaman ini akan kami guna untuk tangani kos sara hidup,” jelas Mahathir.

Mahathir pada Ahad lalu dicalonkan sebagai Perdana Menteri oleh PH dan Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail selaku timbalannya. -MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.